Laman Twitter rasmi Newcastle United secara terbuka mempersoalkan keputusan pengadil. Dan pada masa yang sama berkongsi tweet pemain mereka yang menuduh Chelsea bermain dengan 12 orang pemain – merujuk kepada pengadil yang turut berpihak kepada The Blues.

Newcastle berkunjung ke Stamford Bridge dengan prestasi cemerlang mereka – 9 perlawanan tanpa kalah.

Namun di Stamford Bridge, mereka ditewaskan oleh pasukan yang kini sedang bergolak di sebalik kemelut yang melanda pasukan tersebut.

Chelsea dikenakan tindakan dibekukan oleh kerajaan UK. Dan kemudian masih mencari pembeli kelab yang baharu untuk menyelesaikan isu pemilikan kelab. Ianya selepas Roman Abramovich disekat kerajaan UK dan diberikan masa beberapa minggu sahaja untuk menjual kelab tersebut.

Chelsea beroperasi sebagai kelab bola sepak dengan lesen khas pada masa ini. Dilarang melakukan sebarang urusan perniagaan termasuk menjual barangan rasmi kelab, tiket dan juga terlibat dalam jual beli.

Selepas tewas di tangan Chelsea, Newcastle United menganggap kekalahan itu adalah kerana kurang bernasib baik dan kerana mutu pengadilan yang berat sebelah.

Isaac Hayden tampil dengan komen: “Prestasi yang hebat daripada para pemain berdepan 12 orang pada hari ini.”

Tweet rasmi Newcastle berkongsi semula tweet tersebut.

Sebelum itu akaun rasmi yang sama menyindir insiden yang melibatkan Trevoh Chalobah dan Jacob Murphy.

Bukan itu sahaja, para pemain Newcastle juga dilihat sangat kecewa kerana pengadil tidak melayangkan kad merah kepada Kai Havertz yang kemudian menjadi penjaring gol kemenangan Chelsea.

Chelsea meneruskan rentak kemenangan mereka dalam usaha untuk terus berada di empat teratas.

Jaringan minit ke-89 oleh Kai Havertz memastikan anak anak buah Thomas Tuchel meraih 3 mata sebelum aksi Liga Juara Juara Eropah menentang Lille pada pertengahan minggu ini.