Seorang lagi pemain muda dari Thailand, Picha Autra, dari kelab Pattaya United telah dipilih untuk menjalani sesi percubaan bersama sebuah kelab J1 League, Tokushima Vortis.

Berita ini telah disahkan oleh pihak kelab Tokushima Vortis sendiri, selepas memuat naik status berkenaan perkara ini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Picha Autra yang berusia 22 tahun adalah salah seorang daripada anggota skuad U23 Thailand yang berjaya menewaskan Malaysia 3-0 dalam pusingan kelayakan AFC Championship U23 tahun lalu, dan beliau adalah penjaring gol ke 3 dalam perlawanan tersebut.

Menurut seorang pegawai dari Tokushima Vortis yang dikenali sebagai Okada, beliau cukup berterima kasih kepada pihak kelab, Pattaya United kerana membenarkan Picha untuk menyertai sesi percubaan selama 1 minggu bermula 13 April sehingga 19 April 2018 walaupun ketika liga sedang berlangsung.

19942749_1332585980143310_9116536276031000673_o

Jika semua berjalan lancar, Picha akan mengisi slot kuota pemain dari ASEAN yang diberikan oleh J.League kepada semua kelab serta mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua buah kelab dan liga amnya.

Jelas dapat dilihat bahawa impak luar biasa yang berjaya dipamerkan oleh semua pemain Thailand yang terlebih dahulu beraksi di Jepun, berjaya membuka pintu yang luas kepada pemain-pemain muda Thailand yang lain untuk bersaing diplatform antara yang terbaik di Asia.

Picha Autra akan muncul sebagai pemain ke 6 Thailand beraksi di J.League sekiranya berjaya menambat hati barisan kejurulatihan Tokushima Vortis, sebuah kelab yang berpangkalan di kepulauan Shikoku itu.