Pemain tengah Thailand, Chakkit Laptrakul mengakhiri tempoh pinjaman bersama kelab yang beraksi dalam saingan J2 League, Tokushima Vortis dan bakal menyertai BG Pathum United untuk baki saingan musim 2019.
Kembalinya Chakkit ke BG Pathum disahkan oleh Tokushima menerusi satu pengumuman di laman media sosial Twitter rasmi milik kelab yang ketika ini menduduki tangga ke-11 dalam saingan J2 League musim ini.
Laptrakul menyertai Tokushima pada Januari lalu selepas menampilkan aksi cemerlang bersama BG Pathum United atau yang sebelum ini dikenali dengan nama Bangkok Glass dalam saingan Thai League 1 musim lalu. Meskipun BG tersingkir ke Thai League 2 musim ini, namun prestasi Chakkit berjaya memikat minat kelab Jepun itu.
Akan tetapi, perjalanan Chakkit bersama Tokushima tidak berjalan seperti yang diharapkan. Pemain berusia 24 tahun ini hanya beraksi dalam satu perlawanan sahaja lebih tepatnya perlawanan Emperor’s Cup sepanjang enam bulan bersama kelab tersebut. Chakkit kerap memanaskan bangku simpanan dimana pengendali Tokushima, Ricardo Rodriguez lebih gemar menggunakan pemain lain. Perkara ini menjadi faktor utama mengapa Chakkit kembali ke Thailand.
BG Pathum United ketika ini sedang mengungguli carta Thai League 2 dan berada di landasan tepat untuk kembali ke Thai League 1 musim hadapan dimana mereka mempunyai kelebihan 11 mata dihadapan pasukan di tangga kedua, BEC Tero Sasana dan 12 mata di hadapan pasukan di tangga ketiga, Army United.
Selain Chakkit Laptrakul, Liga Jepun musim ini turut diwarnai oleh beberapa pemain Thailand yang lain seperti Theerathon Bunmathan dan pemain yang sinonim dengan panggilan “Messi Jay”, Chanathip Songkrasin.