Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Peter de Roo menasihati pemain muda negara agar menguatkan mental mereka bagi menghadapi budaya dalam bilik persalinan skuad senior yang dianggap tidak membantu dalam pembangunan pemain muda.
Peter berkata demikian ketika beliau diminta untuk mengulas tentang lambakan pemain yang mempunyai potensi ketika beraksi bersama pasukan muda negara namun gagal untuk mempamerkan prestasi sebenar ketika dipanggil bagi beraksi bersama pasukan senior negara.
“Saya merasakan masalah ini timbul disebabkan budaya bilik persalinan skuad senior. Mereka perlu tunjukkan bahawa mereka pemain profesional dan berdisiplin.
“Kita perlu pastikan mereka mengikut contoh yang baik dan pemain yang tepat tanpa mengira apa sahaja situasi yang bakal mereka tempuhi,” kata Peter menurut laporan Berita Harian.
Tambah de Roo, gaji besar yang diterima oleh segelintir pemain muda ketika beraksi bersama kelab dan pasukan negeri masing-masing menyebabkan mereka sedikit malas sekaligus gagal untuk menampilkan potensi sebenar yang dimniliki.
“Ramai pemain berbakat yang hilang daripada radar kerana mereka bergelut untuk mengawal situasi ini. Jadi mental mereka perlu kuat. Apa yang saya lihat, kebanyakan pemain sudah selesa dengan gaji besar, jadi mereka nampak sedikit malas.
“Sudah tentu ini bukan contoh yang baik kepada pemain muda. Jadi generasi baharu ini perlu bersedia dengan budaya sebegini kerana mereka pula akan menjadi contoh kepada generasi seterusnya,” tambahnya.
DNA Bola Sepak Malaysia Dilancarkan Untuk Panduan Pemain Dan Jurulatih https://t.co/qsKMwqZ4du
— VOCKET FC (@vocketfc) July 9, 2019
Baru-baru ini, FAM melancarkan DNA bola sepak Malaysia yang dikenali sebagai Cara Malaysia. DNA tersebut merupakan manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur.