Berita gembira datang dari bumi Osaka apabila lima pemain yang mewakili Malaysia dalam program Asean Dreams Project (ADP) 2019 bersama Akademi kelab yang beraksi dalam saingan J1 League, Cerezo Osaka menampilkan persembahan mantap dalam satu perlawanan ujian.
Skuad ADP yang dibarisi oleh pemain daripada Malaysia, Myanmar dan Thailand tewas dengan keputusan 2-0 kepada pasukan Akademi Cerezo Osaka namun menurut laporan Utusan, persembahan yang ditampilkan pemain Malaysia berjaya memikat hati staf kejurulatihan Cerezo.
Salah seorang wakil negara, Raja Haikarl Raja Zahari menegaskan pemain Malaysia lebih bagus dari segi teknikal dan mereka mudah untuk membentuk satu persefahaman yang baik antara satu sama lain. Tambah Raja Haikarl: “Lebih mencabar buat mereka (pemain Thailand dan Myanmar), kebanyakannya tidak faham apa yang dimahukan. Banyak perkara yang kami pelajari di sini terutamaa daripada segi budaya berjuang untuk pasukan yang boleh dibawa pulang ke Malaysia selepas ini.
Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada mengakui staf kejurulatihan Cerezo amat kagum dengan prestasi yang ditampilkan oleh kesemua lima pemain negara berusia bawah 15 tahun tersebut serta menyifatkan kelima-lima pemain tersebut mempunyai potensi untuk menjadi pemain profesional pada masa akan datang.
“Jurulatih Cerezo kagum dan memuji persembahan pemain Malaysia ketika menentang Cerezo terutama Raja Haikarl, Danial dan Farizzudin,” kata Hamada.
Keputusan akhir mengenai pemain mana yang bakal dipilih untuk diserap masuk ke dalam Akademi Cerezo Osaka dijangka diketahui tiga bulan dari sekarang. Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan kesemua pemain pada Sabtu lalu, peluang untuk wakil Malaysia mendapat tempat dalam pasukan akademi kelab terbabit amat cerah.