Real Madrid seperti kebiasaan terkenal dengan polisi membawa masuk pemain bintang untuk memperkasakan pasukan sejajar dengan status mereka selaku kelab gergasi dunia.

Baca Juga:

Begitu ramai pemain berkelas dunia dibawa masuk ke kelab yang sudah menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak 14 kali itu.

Bagaimanapun, keadaan itu sejak kebelakangan ini seperti sudah menunjukkan perubahan kerana Los Blancos dilihat lebih cenderung untuk membawa masuk pemain muda.

Dengan Eden Hazard menjadi pembelian mega terakhir pada musim 2019/20, Real Madrid selepas itu memfokuskan kepada kehadiran pemain muda untuk menjadi penerus legasi kepada barisan pemain sedia ada walaupun dalam masa sama masih mendatangkan pemain berpengalaman seperti David Alaba dan Antonio Rudiger.

Antara pemain muda berbakat besar yang dibawa masuk adalah duo pemain tengah dari Perancis iaitu Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni. Kedua-dua pemain tersebut jelas tiada masalah untuk mempamerkan kemampuan sebenar pada usia muda.

Selain dua pemain tersebut, Real Madrid turut dibarisi Vinicius Junior, Federico Valverde, Rodrygo Goes, Eder Militao dan Andriy Lunin yang masih berusia dibawah 25 tahun serta sudah terbukti mampu memberikan sumbangan berkesan buat pasukan.

Real Madrid
Soccer Football – Champions League – Group F – Real Madrid v Celtic – Santiago Bernabeu, Madrid, Spain – November 2, 2022 Real Madrid’s Vinicius Junior scores their fourth goal REUTERS/Juan Medina

Satu keadaan yang memberikan indikasi jelas bahawa masa depan Real Madrid jelas di landasan terbaik untuk terus menjadi sebagai antara gergasi dalam kancah bola sepak di Eropah.

Hakikat itu diakui sendiri oleh pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti yang memuji barisan pemain mudanya.

“[Kemampuan] mereka tidak mempunyai had. Mereka melakukannya dengan baik dan berkemungkinan untuk bertambah baik dalam banyak aspek. Rodrygo, Vini dan Valverde beraksi dengan baik.”

“Beraksi tanpa Karim Benzema [pertemuan dengan Celtic] telah menambah lebih banyak tanggungjawab buat semua pemain terutamanya penyerang. Mereka telah memikul tanggungjawab itu dan melaksanakannya dengan baik.”

“Ia lebih kepada aspek mental pemain. Kini mereka lebih banyak terlibat dalam perlawanan dan kelihatan lebih yakin, terutamanya Valverde.”

“Dia meningkat secara mendadak daripada segi gol yang dia telah jaringkan pada musim lalu. Vini bergerak lebih baik dari bola dan mencari posisi yang baik di dalam kawasan penalti.”

“Kami telah berjaya menggantikan Karim yang merupakan pemain bintang pada musim lalu,” ujar Carlo Ancelotti menurut laporan laman sesawang rasmi Real Madrid.

 

Sumber