Pemain pertahanan Indonesia, Pratama Arhan terus mengembangkan kariernya di luar negara apabila bakal menyertai kelab divisyen 1 Liga Korea Selatan, Suwon FC.

Menurut laporan media negara itu iaitu Chosun, Suwon FC dikatakan sudah mencapai kata sepakat bersama pihak Pratama Arhan dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

“Suwon FC selangkah lagi akan menandatangani pemain kebangsaan Indonesia, Pratama Arhan. Kata sepakat sudah dicapai dengan Arhan yang berstatus ‘free agent’ dan segala dokumen akan diselesaikan secepatnya,” tulis sumber Chosun.

Chosun juga berkata Pengurus Suwon FC, Choi Soon Ho tertarik mendapatkan pemain dari Asia Tenggara untuk meningkatkan nilai kelab itu di pasaran ASEAN. 

Mereka juga sudah lama memerhati Pratama Arhan sejak menyertai kelab Jepun, Tokyo Verdy. Pemain yang berusia 21 tahun itu kini memiliki jumlah pengikut hampir 6 juta di lama instagramnya.

“Pengurus Suwon FC, Choi Soon Ho sentiasa memerhati pasaran Asia Tenggara untuk meningkatkan nilai kelab. Beliau memberikan perhatian kepada Indonesia.

“Suwon FC memerlukan khidmat pemain Indonesia bagi memperkuatkan pertahanan dan Arhan termasuk dalam senarai calon mereka,” tulis Chosun.

Prama Arhan menyertai Tokyo Verdy pada bulan Februari 2022 dengan kontrak sehingga Januari 2024.

Selepas 3 hari Pratama Arhan diumumkan sebagai pemain baharu Tokyo Verdy, impak segera yang diterima oleh kelab itu sehingga tidak disangka oleh ramai penyokong tempatan sebelum ini.

Sebelum pengumuman perpindahan Pratama Arhan dibuat, pengikut Instagram Tokyo Verdy hanya sekitar 24,000 sahaja, namun angka pengikut terkini selepas hanya 3 hari mencatatkan peningkatan lebih 1100%!

Bagaimanapun, pemain itu gagal mendapatkan jumlah minit permainan yang banyak sejak menyertai Tokyo Verdy. Beliau hanya sempat diturunkan dalam 4 perlawanan setakat ini.