Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim mempunyai peluang untuk merampas semula kedudukan teratas liga daripada pasukan Pahang apabila bertemu Felda United di Larkin malam ini.

JDT ketika ini berada di kedudukan kedua dengan catatan 17 mata selepas tujuh perlawanan. Meskipun mempunyai kutipan mata yang sama dengan skuad Tok Gajah, namun perbezaan satu gol memisahkan kedua-dua pasukan.

Pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu tidak terlibat dengan perlawanan Piala FA 2019 pusingan yang kedua. Ini menjadikan pemain JDT mempunyai tempoh rehat yang lebih lama berbanding Felda yang beraksi menentang Kuching FA Selasa dimana mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0.

Dari segi pemain, juara 5 kali Liga Super itu dijangka bakal menurunkan kesebelasan utama terkuat mereka kerana JDT bukan sahaja dalam misi mahu merampas kedudukan teratas, malah mereka akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Pemain seperti Safawi Rasid, Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera bakal memperkuatkan jentera serangan JDT. Trio ini merupakan salah satu daripada trio serangan terbaik dalam saingan Liga Super setakat ini. Ketiga-tiga pemain ini akan dibantu oleh Lucas Velazquez dan Harris Harun dalam menjana gerakan serangan.

Bagi pasukan pelawat pula, mereka mahu bangkit setelah tewas dalam dua perlawanan terakhir Liga. Pasukan bimbingan Nidzam Jamil ini tewas kepada PKNS FC serta Pahang pada perlawanan minggu ke-6 dan ke-7. Dua kekalahan berturut-turut nyata menjejaskan kedudukan Felda dalam carta Liga.

Pemain harapan skuad The Fighters untuk merobek gawang tuan rumah semestinya ketua pasukan mereka, Hadin Azman yang setakat ini telah berjaya menjaringkan tiga gol. Hadin tampil dengan konsisten sejak diberikan tanggungjawab untuk memimpin rakan sepasukan dan beliau mempunyai peluang untuk meneruskan rentak cemerlang apabila berdepan bekas pasukannya.

Meskipun mempunyai kelebihan dari segi barisan pemain dan juga beraksi di tempat sendiri, barisan pemain JDT tidak boleh memandang rendah cabaran yang bakal diberikan oleh pemain pasukan lawan. Kemampuan Felda mengikat pasukan besar yang lain seperti Perak dan Selangor sebelum ini cukup untuk membuktikan bahawa juara Liga Perdana 2018 ini mampu untuk mencipta kejutan.