Skuad PDRM FC tekad elak hadiahkan sepakan penalti dengan mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ malam ini.

Kedua-dua pasukan itu bertemu kembali selepas saingan pusingan kedua Piala FA yang menyaksikan JDT telah menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti pada minit ke 12 dan 27 menerusi Bergson dan Leandro Velazquez.

Justeru itu,  Ketua jurulatih PDRM, Azzmi Ab Aziz menggesa anak buahnya berhati-hati ‘merantai’ pergerakan jentera serangan JDT agar tidak mudah dihukum oleh pengadil dalam kawasan kotak penalti.

“Kita sudah ingatkan kepada pemain supaya lebih fokus sepanjang perlawanan kerana sebarang kealpaan walaupun seminit bakal mengundang padah buat kami biarpun beraksi di tempat sendiri kerana sedar penyerang lawan cukup berbahaya.

“Buat pemain pertahanan, elakkan melakukan kesilapan mudah yang boleh menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan sekali gus boleh merugikan pasukan, sebaliknya fokus bagi mematahkan serangan lawan.

“Kami percaya jika pemain mengikut perancangan yang diatur, kita harap tidak bolos dengan jaringan besar dalam misi kita sekurang-kurangnya mengutip satu mata bagi mengelak keciciran mata lagi selepas tumpas kepada Penang FC sebelum ini,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro. 

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari sudah ada ramuan untuk menghadapi taktik permainan `parkir bas’ PDRM di kawasan sendiri malam ini.

Katanya, ia mungkin perancangan taktikal pasukan itu iaitu berkampung di kawasan sendiri dan membentuk lima atau pemain dengan formasi bertahan di posisi pertahanan.

“Ia mungkin berlaku seperti aksi Piala FA, tapi kami akan bersedia tampil lebih konsisten dan mengelak daripada terperangkap dengan helah permainan PDRM FC kerana ia saingan liga dan kami mahu mengekalkan momentum kemenangan,” katanya.