Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan PDRM menjadi pasukan pengganti kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim depan.
Terdahulu, Pulau Pinang sepatutnya layak ke Liga Super 2020 selepas menamatkan kempen Liga Premier di tangga ketiga pada musim ini di belakang juara Sabah dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II).
JDT II yang menjadi kelab feeder kepada JDT tidak layak ke Liga Super dan slot itu diberikan kepada pasukan ketiga.
Pulau Pinang Dipotong Enam Mata Dan Tidak Layak Ke Liga Super 2020 https://t.co/zs1f5Y7cbR
— VOCKET FC (@vocketfc) July 21, 2019
Namun tuah tidak memihak kepada Pulau Pinang selepas mereka berdepan hukuman penolakan enam mata daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara terlibat masalah tunggakan gaji membabitkan bekas import, Reinaldo Lobo yang menyertai Harimau Kumbang dari 2015 hingga 2017.
Penolakan enam mata menyaksikan Pulau Pinang jatuh ke tangga ketujuh manakala pasukan yang menggantikan mereka ke Liga Super adalah PDRM yang melonjak ke tangga ketiga sejurus perkiraan semula kedudukan Liga Premier musim ini.
Mengulas lanjut, Kevin menegaskan keputusan itu berkuatkuasa serta merta selepas menerima surat daripada FIFA yang mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan supaya Pulau Pinang dikenakan pemotongan 6 mata.
“Arahan yang MFL terima (daripada FAM) adalah untuk memotong mata Pulau Pinang itu kekal dan sudah tentu pasukan PDRM yang layak ke Liga Super. Saya ada terdengar pasukan Pulau Pinang mahu membuat rayuan dan sebagainya. MFL mendoakan selamat maju jaya dalam rayuan itu.
“Buat masa ini, arahan yang dibuat oleh FIFA yang dihantar oleh kami (perlu dilaksanakan) serta-merta dan jika tindakan itu tidak diambil, maka tindakan ke atas FAM boleh dikenakan daripda FIFA. Bukan untuk kita pertikaikan arahan daripada FIFA dan jika ada sesuatu perlu diubah pada masa akan datang, kita harap dibuat secepat mungkin kerana mahu pasukan ke Liga Super itu dapat bersedia lebih awal,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kevin mendedahkan Sarawak yang menamatkan kempen Liga Premier di tangga ke-11 akan menentang naib juara Liga M3 dalam aksi playoff yang dijangka berlangsung selepas tamat kempen Piala Malaysia 2019.
“Sarawak akan bertemu naib juara Liga M3 untuk playoff ke Liga Premier 2020 di mana perlawanan itu diadakan di gelanggang neutral dan diadakan dalam garis masa sebelum November depan,” katanya.