Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan tindakan penyerang skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang tidak muncul di sesi latihan skuad tok gajah selama sebulan sehingga terlepas perlawanan Liga Super menentang JDT pada minggu lalu.
Sumareh yang masih mempunyai kontrak dengan Pahang sehingga tahun 2022 mengambil tindakan tersebut kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.
Klausa 8.7 bermaksud kontrak pemain boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gajinya lebih dari satu kali.
Bagaimanapun, sumber daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang enggan didedahkan namanya menafikan dakwaan pemain naturalisasi itu tidak dibayar gaji kerana semua pemain dalam skuad tok gajah sentiasa dibayar setiap bulan cuma terlewat akibat wabak COVID-19.
“Dalam isu ini tidak timbul Pahang tidak langsung membayar gaji setiap bulan biarpun bayaran gaji itu tidak diterima sepenuhnya.
“Tapi semua tahu penularan wabak COVID -19 memberi kesan terhadap pengurusan pasukan yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan atau tunggakan.
“Namun, Pahang tetap membayar gaji setiap bulan biarpun bukannya bayaran penuh,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
PBNP juga mengakui sangat kecewa dengan tindakan Sumareh yang menamatkan kontrak tanpa sebarang perbincangan dengan pihak pengurusan.
Ia adalah satu tindakan yang tidak profesional memandangkan badan induk itu sudah banyak membantu pemain itu menyelesaikan proses dokumentasi untuk mendapatkan status warganegara Malaysia.
“Sebagai pemain profesional dan sudah lama bersama Pahang, Sumareh tidak sepatutnya bertindak sedemikian.
“Sebaiknya, Sumareh harus mencontohi barisan pemain dari pasukan lain yang kekal dan setia bersama pasukan ketika mereka berdepan masalah gaji sehingga tempoh beberapa bulan.
“Kita tidak dengar mereka yang berdepan masalah tunggakan gaji membuat keputusan meninggalkan pasukan kerana kesetiaan kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang tetap menganggap Sumareh sebagai pemain yang tidak profesional kerana tidak memaklumkan kepadanya serta Dollah Salleh.
“Dalam hal ini, jika menghadapi sebarang masalah, dia sepatutnya merujuk kepada saya selaku pengurus atau bertemu jurulatih (Dollah Salleh).
“Tapi, tiada apa yang diberitahu kepada kami sebaliknya membuat keputusan tidak hadir menjalani latihan sejak sebulan lalu,” katanya.
“Namun, tindakan tidak profesional Sumareh yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu ketika pasukan dalam persiapan memperkasakan pasukan sebaik Liga Malaysia (Liga M) bersambung adalah tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Baca artikel lain mengenai isu Sumareh melalui pautan dibawah.
Jendela Perpindahan Thai League Masih Terbuka, Police Tero Minat Bawa Sumareh Ke Thai League?
Adakah Ini Klausa 8.7 Yang Menyebabkan Kontrak Sumareh Bersama Pahang FA Terbatal?