Berita baik datang daripada kem pasukan Kuala Lumpur dimana mereka berjaya mengekalkan khidmat salah seorang pemain import yang menjadi nadi pasukan pada saingan musim 2019, Paulo Josue dimana pemain dari Brazil itu menandatangani kontrak lanjutan selama setahun.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Josue apabila beliau memuat naik gambar menerusi laman media sosial Instagram miliknya. Pemain berusia 30 tahun itu berazam membantu Kuala Lumpur untuk kembali ke saingan Liga Super pada musim 2021.
“Saya gembira dapat melanjutkan kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) selama semusim dan saya hargai keyakinan yang dimiliki oleh pengurusan terhadap saya bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Saya harap kami sebagai satu pasukan dapat beraksi dengan baik sekaligus memastikan Kuala Lumpur kembali beraksi di Liga Super.
“Saya harap impian kami akan menjadi kenyataan,” kata Paulo Josue.
Paulo mula beraksi bersama The City Boys pada 2017 dimana beliau membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Perdana pada musim tersebut sekaligus kembali ke saingan Liga Super setelah “menghilang” selama lima tahun.
Beliau mencipta gandingan mantap bersama seorang lagi pemain import, Guilherme De Paula di bahagian serangan sekaligus menjadi nadi utama Kuala Lumpur sejak tiga musim terakhir.
Kuala Lumpur setakat ini telah berjaya mengikat beberapa pemain termasuk bekas pemain skuad kebangsaan seperti bekas ketua pasukan Melaka United, Shukor Adan dan pemain PJ City, S Subramaniam.
Baca artikel lain mengenai pasukan Kuala Lumpur di sini:
KLFA Mungkin Tubuhkan ‘Feeder Club’ Untuk Dijadikan Sebagai Lubuk Bakat Baharu
Khalid Samad Dipilih Sebagai Presiden KLFA, Sasar Kelompok Empat Terbaik Liga Super 2021