Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang telah memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan termasuk bola sepak dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Kebenaran tersebut turut diperjelaskan lagi secara terperinci pada sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini dan sidang media khas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican sebentar tadi iaitu aktiviti latihan bola sepak, sama ada secara profesional atau sosial telah diberi kebenaran untuk dijalankan semula mulai 15 Jun 2020.

“FAM amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang meluluskan kebenaran bagi aktiviti latihan bola sepak bermula semula mengikut syarat dan SOP, terutamanya kepada Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Ismail Sabri dan Dato’ Sri Reezal Merican atas segala bantuan yang telah dihulurkan kepada FAM.

“Sudah tentu, ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga bola sepak di Malaysia yang sudah hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti bola sepak di semua peringkat sejak saingan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac 2020 dan diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pemain skuad kebangsaan akan dipanggil menjalani latihan pusat

Dengan kebenaran diberikan oleh kerajaan ini, FAM yang sudah pun mempunyai SOP bagi latihan pasukan-pasukan kebangsaan akan mengadakan perbincangan dalaman untuk penentuan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe bagi persiapan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual pada Oktober dan November 2020 serta kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ia akan disusuli dengan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin (quarantine based approach centralized camp) yang akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat ini berpandukan SOP Sektor Sukan & Rekreaksi Fasa 2 yang dikeluarkan KBS, hari ini.

MFL akan sediakan SOP latihan untuk pasukan Liga Malaysia

Berhubung aktiviti latihan bagi pasukan-pasukan yang beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020, badan pengendali liga iaitu Malaysian Football League (MFL) akan mengeluarkan SOP kembali ke latihan dan juga akan menghubungi pasukan-pasukan berkenaan dalam masa terdekat ini bagi memberi penerangan terhadap SOP yang telah disediakan bagi memastikan perlaksanan sejajar dapat dipastikan.

Untuk itu, FAM berharap agar kita semua yang terlibat dalam bola sepak ini dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah dibuat agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Malaysia melalui pautan dibawah.

RASMI: Saingan Liga M3 Musim 2020 Dibatalkan, Ini 6 Justifikasi Yang Diberikan Oleh AFL

Saingan Piala Presiden Dan Piala Belia Musim 2020 Dibatalkan