Pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan bagi terus mengendalikan juara Piala AFF Suzuki 2018 berserta skuad B-23 tahun negara tersebut.

Kontrak Hang-seo bersama Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) akan berakhir pada Januari 2020 dan rundingan antara kedua-dua belah pihak untuk memperbaharui kontrak telah berjalan sejak sekian lama. VFF kemudiannya mengesahkan pengendali dari Korea Selatan itu bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun.

“Ini boleh dijadikan sebagai satu berita baik untuk bola sepak Vietna khususnya selain menjadi penghargaan kepada Park Hang-seo sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan Vietnam,” kata VFF dalam satu kenyataan.

Sejak menjadi ketua jurulatih pada 2017, Hang-seo telah berjaya mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan itu dimana Vietnam berjaya memenangi saingan Piala AFF Suzuki pada 2018 dengan menewaskan Malaysia di pentas akhir. Vietnam juga berjaya mencipta kejutan dengan mara ke peringkat suku akhir pada saingan Piala Asia awal tahun ini.

Park
Park Hang-seo

Selain itu, pengendali berusia 60 tahun itu turut membimbing skuad B-23 tahun Vietnam mara ke perlawanan akhir temasya AFC B-23 tahun pada 2018 serta mara ke peringkat separuh akhir temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Kini, Hang-seo sedang sibuk mempersiapkan skuad B-23 tahun bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina serta AFC B-23 Tahun di Thailand pada 2020. Bersama skuad senior pula, bekas pengendali Korea Selatan B-23 tahun itu mahu memastikan pasukannya terus memberikan cabaran dalam kumpulan G.

Baca artikel lain mengenai Park Hang-seo di sini:

Park Hang-seo: Alexander Dang Tidak Menjadikan Pasukan Lebih Baik, Tiada Tempat Dalam Pasukan Ketika Ini

Vietnam Dibawah Park Hang-seo Masih Kekalkan Status ‘Unbeaten’ Dengan Negara ASEAN

Park Hang-seo: Menang Tetapi Pemain Masih Membuat Kesalahan