Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo berpendapat pasukannya layak menang terhadap Malaysia walaupun mutu pengadilan dalam perlawanan itu dipertikaikan oleh beberapa pihak termasuk peminat bola sepak Asia Tenggara.

Baca Juga:

Mengulas mengenai keputusan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato melayangkan dua kad merah kepada pemain Vietnam (Van Toan) dan Malaysia (Azam Azmi), Park Hang Seo nafi pemainnya melakukan kekasaran dan tidak sepatutnya dibuang padang pada minit ke 33.

“Saya tak fikir Van Toan sengaja untuk melakukan kekasaran apabila dia dapat kad kuning kedua. Kad merah ini turut memberi kesan kepada corak permainan pasukan kami.

“Bola Sepak ialah sukan yang melibatkan sentuhan fizikal. Apabila pemain berada di atas padang, akan berlaku perebutan untuk membawa pulang kemenangan. Ianya normal mereka bersentuhan secara fizikal.

“Bola sepak juga ada peraturannya. Kegagalan mematuhi peratuan ini, pemain akan dibuang padang. Saya tidak fikir ia satu keganasan,” katanya seperti dipetik dalam Bongdaplus. 

Aksi di Stadium My Dinh, Hanoi itu menyaksikan anak buah Park Hang Seo merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia, sekali gus merampas kedudukan teratas Kumpulan B, berkongsi enam mata bersama Harimau Malaya dan Singapura.

Perlawanan itu cukup kontroversi apabila Ryuji Sato dikatakan membuat beberapa keputusan tak masuk akal. Apa tidaknya, pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti yang menyebabkan skuad kendalian Kim Pan-gon ketinggalan 0-2 pada minit 64.

Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh turut menjelaskan insiden yang berlaku dalam satu temu bual bersama Astro Arena. 

Selepas ini, Vietnam akan menentang Singapura pada 30 Disember di Stadium Jalan Besar. Park Hang seo tetap berwaspada terhadap setiap lawan yang menanti.

“Ada 4 perlawanan dalam kumpulan. Kami cuma bermain dalam dua perlawanan setakat ini. Saya tak mahu ulas mengenai perlawanan seterusnya. Saya hanya mahu pemain berada dalam keadaan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang bagus.” jelasnya.

Jika Vietnam berjaya menewaskan Singapura, Malaysia wajib menang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Januari 2023 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.