Vietnam dijangka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Myanmar sekaligus muncul sebagai juara kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada malam ini dengan mengumpulkan 10 mata.

Baca Juga:

Keputusan itu bermakna mereka bakal bertemu Indonesia yang berada di tempat kedua dalam kumpulan A di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo berharap tahap keselamatan dapat ditingkatkan apabila pasukannya berkunjung ke Jakarta untuk menentang skuad Garuda.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai insiden bas skuad Thailand diserang oleh puluhan penyokong Indonesia ketika dalam perjalanan ke Stadium Gelora Bung Karno pada hari khamis lepas.

“Setiap kejohanan pasti ada penyokong yang gila. Kadang-kadang mereka ini bertindak di luar batasan dan hilang akal. Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) atau pihak yang lebih tinggi harus mempunyai satu prosedur (SOP) untuk menjamin keselamatan pasukan.

“Saya tidak tahu seberapa banyak ancaman yang diterima oleh rombongan Thailand tetapi jika ingin dijadikan pengajaran, kami harus lebih bersedia. Dalam setiap pertandingan, menjamin keselamatan pasukan adalah tanggungjawab tuan rumah,” katanya seperti dipetik dalam CNN Indonesia. 

Walaupun bas skuad Thailand ketika itu bergerak dengan kawalan keselamatan oleh pihak polis, namun segelintir penyokong Indonesia masih mengerumuni sekelilingnya sambil melakukan provokasi dan menunjukkan jari tengah.

Menerusi rakaman video dan gambar yang dikongsi oleh beberapa laman bola sepak Thailand di media sosial menunjukkan cermin bas pasukan tersebut telah pecah dipercayai dibaling batu oleh para penyokong fanatik Indonesia.

Insiden tersebut turut dikritik hebat oleh para peminat bola sepak Asia Tenggara dan mereka menyifatkan penyokong Indonesia masih tidak berubah selepas tragedi di Stadium Kanjuruhan pada 1 Oktober lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan turut mengeluarkan permohonan maaf kepada Thailand dan mengakui terdapat kesilapan dari segi kawalan keselamatan.

“Saya mohon maaf kepada seluruh pemain, pegawai dan pasukan kebangsaan Thailand. Kami terlalu percaya keselamatan skuad Thailand terjamin dengan hanya kawalan satu kereta polis sahaja.

“Kami tidak jangka insiden itu berlaku dan sangat menyesal atas kejadian tersebut,” jelasnya.