Pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal sebagai ketua jurulatih pasukan setelah Vietnam menampilkan aksi yang memberangsangkan dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Hang-seo nyata membawa perubahan besar terhadap bola sepak Vietnam sejak mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih pada 2017 dimana jurulatih dari Korea Selatan itu kembali menjadikan The Golden Dragons salah satu pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.
Di bawah bimbingan Hang-seo, Vietnam tidak menunggu lama untuk memenangi trofi di peringkat antarabangsa dimana mereka berjaya memenangi Piala AFF Suzuki bagi edisi 2018. Sepulun tahun setelah kali terakhir Vietnam menjulang trofi tersebut, Hang-seo membimbing pasukan itu menewaskan Malaysia di pentas final sekaligus memenangi gelaran kedua.
Dalam kempen kelayakan yang sedang berlangsung ketika ini, Vietnam masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah dan mereka berjaya meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan yang dihadapai. Mereka seri 0-0 ketika berdepan Thailand pada perlawanan pertama dan kemudiannya meraih tiga mata pertama selepas menewaskan Malaysia dengan keputusan 1-0 di Hanoi.
Vietnam meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-1 pada perlawanan ketiga yang dilangsungkan di Bali sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua dalam carta kumpulan G dibelakang Thailand dan dihadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jika Park Hang-seo bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan, tidak mustahil Vietnam menjadi salah satu pasukan terkuat di rantau Asia. Barisan pemain yang dimiliki serta corak permainan yang sesuai menjadi faktor utama mengapa Vietnam tidak boleh dipandang rendah kali ini.
Baca artikel lain mengenai Park Hang-seo di sini:
Park Hang-seo: Seperti Tidak Bertanggungjawab Jika Tinggalkan Pasukan Sekarang
Vietnam Dibawah Park Hang-seo Masih Kekalkan Status ‘Unbeaten’ Dengan Negara ASEAN