Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo mengakui beliau mendapat banyak tawaran selepas meninggalkan juara Piala AFF edisi 2018 itu.

Baca Juga:

Hang-seo rasmi meninggalkan Vietnam setelah lima tahun mengendalikan skuad senior dan B-24 Tahun negara itu dan beliau tidak merancang untuk bersara dalam masa terdekat.

Pengendali berusia 64 tahun itu akan memutuskan hala tuju beliau selepas ini dalam masa terdekat setelah melakukan perbincangan bersama keluarganya.

Park Hang-seo
Kredit Foto: Vietnamese Football

“Ejen saya sudah mendapat beberapa tawaran dan saya sedang memikirkannya. Saya harus berbincang dengan keluarga terlebih dahulu untuk menentukan apa yang saya akan lakukan dan kemana destinasi saya.

“Apa yang pasti ialah saya akan kekal dalam arena bola sepak kerana itu perkara yang saya kuasai,” kata Park Hang-seo.

Hang-seo turut menegaskan beliau menolak sekiranya ada tawaran dari Korea Selatan ataupun Vietnam kerana sudah pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

“Saya sudah mengatakan saya tidak akan menjadi jurulatih di Korea Selatan dan Vietnam. Di Vietnam, saya sudah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan tidak berniat untuk mengambil posisi ini di tempat lain.

“Di Korea, ramai junior dan rakan saya yang jauh lebih baik dari saya sehingga saya merasakan tiada yang istimewa untuk dilakukan di kampung halaman,” tambahnya.

Hang-seo tidak menyebut pasukan mana yang datang untuk mendapatkan khidmat beliau. Namun dengan pengalaman serta kemampuan yang dimiliki, banyak pasukan besar yang sudah pasti mahu mendapatkan khidmat Hang-seo.

Sejak membimbing skuad senior dan B-23 Tahun Vietnam pada 2017, Hang-seo telah mencipta beberapa kejayaan seperti memenangi Piala AFF pada edisi 2018 dengan menewaskan Malaysia dan juga pingat emas Sukan SEA pada 2019 dan 2021.

Selain itu, Hang-seo juga pernah membawa skuad B-23 Tahun menduduki tempat kedua dalam saingan AFC B-23 Tahun pada 2018 dimana mereka tewas kepada Uzbekistan.