Pengarah Urusan Tottenham Hotspur, Fabio Paratici menganggap pemergian Antonio Conte daripada kelab tersebut merupakan keputusan yang tepat buat semua pihak.
Baca Juga:
- Levy Tiada Pilihan Selain Memecat Antonio Conte Yang Melampau
- Tottenham Sedia Lepaskan Conte Selepas Komen Mencaci Kelab Sendiri
- Antonio Conte Kutuk Tottenham: “Patutlah 20 Tahun Tak Menang Piala”
Seperti dilaporkan sebelum ini, Conte jelas mencuri tumpuan selepas mengkritik para pemain Tottenham Hotspur sebagai mementingkan diri.
Malah, dalam masa sama beliau turut mengutuk pemilik kelab, Daniel Levy yang menurutnya telah membiarkan sahaja masalah mentaliti di kelab tersebut berlarutan sejak sekian lama.
Kritikan tersebut sekali gus telah menyebabkan Conte dilepaskan dengan persetujuan bersama selepas 16 bulan membimbing kelab yang berpengkalan di London itu.
“Saya tahu betapa sukarnya musim ini secara peribadi buatnya,” ujar Paratici menurut laman sesawang rasmi Tottenham Hotspur.
“Gian Piero Ventrone [jurulatih kecergasan Spurs] meninggal dunia dan selepas itu Gianluca Vialli [sahabat baik Conte] dan kemudiannya pembedahan yang dihadapinya.”
“Kelab sentiasa memberikan sokongan kepadanya dan semua orang begitu rapat antara satu sama yang lain tetapi kita tiba pada detik persetujuan bersama ini.”
“Saya merasakan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan yang tepat buat semua orang,” tambah Paratici lagi.
Sehubungan dengan ketiadaan Conte itu, Paratici meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada pengurus interim, Cristian Stellini untuk membawa Tottenham Hotspur layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Spurs pada ketika ini berada di landasan tepat untuk sekali lagi layak ke UCL apabila menghuni tangga keempat dengan 49 mata tetapi berkelebihan dua perlawanan berbanding Newcastle United yang mengumpul 47 mata.