Masihkah anda ingat pemain muda Malaysia yang dahulu menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila beliau beraksi bersama akademi Queen Park Rangers (QPR) selama 4 musim?

Pemain yang dimaksudkan ialah Ash Hameed iaitu bekas pemain skuad bawah 22 tahun kebangsaan. Ketika kembali ke Malaysia pada 2014, Ash menyertai pasukan Kelantan pada usia 16 tahun.

Namun, ketika beraksi dengan skuad kebangsaan, Ash telah mengalami kecederaan lutut ACL dan tersisih beberapa tahun daripada aksi bola sepak. Dan apabila kembali daripada kecederaan, beliau hanya beraksi dengan skuad Piala Presiden MIFA.

Justeru itu, bagi mengelakkan bakat pemain itu terbiar, sebuah kelab amatur, Pandan United Football Club (PUFC) berminat untuk mengembalikan semula prestasinya seperti dulu serta meningkatkan tahap fizikalnya.

Pemain yang berusia 22 tahun itu telah ditawarkan kontrak selama 5 tahun sebagai pemain sepenuh masa (Profesional) PUPC. Selain Ash Hameed, mereka turut sambar khidmat bekas pertahanan UITM B-19, Firdaus Hasnoddin.

Kelab ini akan beraksi dalam saingan Liga M4 musim depan dan dikendalikan oleh bekas pemain ragbi Malaysia, saudara Iskandar Salleh.

Menurut Iskandar, dua pemain itu akan didedahkan dengan strength & conditioning, pemakanan atlet (nutrition) serta latihan ‘public speaking’ bagi melengkapkan mereka ke arah profesionalisme.

“Kita akan pastikan fizikal mereka lebih baik agar setanding dengan pemain antarabangsa lain dan juga menyiapkan mereka agar dapat mewakili negara,” katanya ketika dihubungi Vocket FC.

Baca artikel lain mengenai kisah Ash Hameed yang pernah ditulis oleh Vocket FC sebelum ini.

Kisah Anak Malaysia Pikat Jurulatih England U15, Kecewa Gagal Terima Sokongan Untuk Kekal Sebagai Pemain Akademi QPR