Syarikat pembangun dan penerbit permainan mudah alih dari Malaysia, Mason Games telah melancarkan aplikasi permainan baharu – ‘Shuttle Smash: Badminton League’.

Shuttle Smash: Badminton League ialah permainan mudah alih sukan 3D yang sesuai untuk semua peringkat umur dan mampu menjadikan anda legenda dalam sukan global yang popular ini.

Permainan ini mengambil inspirasi daripada perlawanan badminton sebenar, turut berasaskan peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain boleh memilih untuk mewakili negara kegemaran mereka yang juga merupakan antara 176 negara yang menjadi ahli dalam badan induk badminton dunia itu.

Antara ciri-ciri penting permainan Shuttle Smash adalah pemain boleh mula bermain secara santai dalam mod Casual [sebagai latihan] untuk merasai mood sebelum beraksi dalam kejohanan.

Pada sesi latihan, terdapat tiga tahap kesukaran iaitu mudah, sederhana dan sukar. Pemain akan diberikan ganjaran piala dan token untuk kemenangan di mana-mana tahap kesukaran tersebut pada nilai yang ditetapkan.

Token yang dimenangi boleh digunakan oleh pemain untuk membeli jersi di ruangan ‘Shop’. Manakala, jumlah piala pula akan mempengaruhi kedudukan sesebuah negara diwakili oleh pemain dalam ‘Country Leaderboard’ melibatkan mod Casual dan Tournament.

Untuk tahap mudah, lima mata diperlukan untuk mencatatkan kemenangan. Manakala bagi tahap sederhana dan sukar, pemain perlu mencapai 11 mata untuk menang.

Sementara itu, dalam mod ‘Tournament’, pemain dapat merasai pengalaman seperti dalam perlawanan sebenar dan perlu memenangi dua set dengan kiraan 21 mata. 50 token dan lima trofi akan diberikan kepada pemain yang berjaya meraih kemenangan dalam mod ini.

Meskipun hanya menggunakan jari, ketangkasan pemain amat diperlukan dalam permainan mudah alih ini kerana pemain perlu mengawal dengan penuh cermat kederasan pukulan bagi meraih mata.

Satu pengalaman permainan yang bakal menguji tahap adrenalin anda, sama seperti ketika berada di gelanggang badminton sebenar.

Tambahan pula Shuttle Smash juga tampil dengan animasi aksi yang cukup lancar dan responsif bagi meningkatkan lagi kepuasan ketika bermain.

Ayuh, sahut cabaran untuk menentang lawan-lawan yang mahir. Kalahkan semua pemain badminton dengan cara anda yang tersendiri atau tiru gaya idola anda untuk berjaya ke puncak kejuaraan!

Jangan ketinggalan untuk membuktikan kemampuan anda. Permainan Shuttle Smash boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.