Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam percaya perancangan untuk kekal menggunakan kudrat pemain tempatan pada musim depan tidak menghalang pasukan ini untuk terus memberi saingan lebih mantap di pentas Liga Super.
Beliau memberi bayangan pasukan itu akan tetap beraksi tanpa pemain import meskipun penstrukturan baharu Liga Malaysia 2023 membenarkan sembilan import bagi setiap pasukan.
Jelasnya, PJ City dilihat ingin kekal selaku pasukan yang hanya menggunakan pemain tempatan dan nyata pendekatan itu sejak musim 2021 menyaksikan pasukan ini tidak berdepan masalah besar untuk tetap memberi saingan kepada lawan di Liga Super.
Dan apabila Malaysian Football League (MFL) tidak mewajibkan penggunaan sembilan pemain import ini sebaliknya bergantung kepada kesesuaian pasukan masing-masing, Maniam percaya pihak pengurusan akan lebih bijak dalam melakukan perancangan untuk PJ City bagi beraksi dengan lebih cemerlang, musim depan.
“Saya rasa PJ City akan kekal untuk tidak mengikat mana-mana pemain import dan kita akan ikut apa yang pihak pengurusan lakukan.
“Ini juga seiring dengan Dato Sri Vijay Eswaran (pemilik kelab) yang ada misi dan visi untuk terus menggunakan khidmat pemain tempatan dan ingin memberi peluang kepada mereka beraksi.
“Memang perlawanan akan lebih sukar, tetapi kita terima apa yang diputuskan oleh MFL di mana saya percaya ini adalah untuk peningkatan dan penambahbaikan liga bola sepak kita”, jelasnya.
Selain itu, Maniam turut menganggap aspek kewangan untuk skuad ini tidak menjadi kerisauan besar apatah lagi ditambah dengan pertambahan perlawanan pada musim depan akan memberi peluang kepada setiap pasukan menjana pendapatan tambahan daripada setiap aksi.
Dan apa yang pasti, beliau teruja dengan pembabitan 18 pasukan di pentas Liga Super selain turut akan membantu pemain-pemain untuk lebih mendapatkan minit permainan di atas padang.
“Saya rasa PJ City tidak akan ada masalah dalam hal kewangan dan mereka tahu bagaimana ingin menguruskan pasukan, saya tidak pasti percaturan pasukan lain, tetapi kami di sini tahu macam mana nak menjaga pasukan.
“Dengan 18 pasukan yang akan beraksi, dan lebih banyak perlawanan adalah sesuatu yang positif dan bagus untuk liga.
“Apabila banyak perlawanan, ia akan bantu pemain-pemain untuk dapat peluang bermain dan senang untuk pemilihan di skuad kebangsaan nanti”, tambah P. Maniam lagi
Terdahulu, PJ City tewas 1-2 kepada Sabah FC dalam perlawanan Liga Super semalam menyaksikan pasukan itu menghuni tangga kesembilan setakat ini.