Orang awam tidak melepaskan peluang untuk membawa balik rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ dari padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditawarkan secara percuma hari ini bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.
Baca Juga:
- TMJ: Fasiliti Kita Akan Ketinggalan Jika Tidak Tukar Padang
- MBI Berminat Tanam Rumput Zeon Zoysia Di Stadium Perak
- Hannah Yeoh Tawarkan Rumput Zeon Zoysia Di Stadium Setiap Negeri
Perbadanan Stadium Malaysia telah memberi kebenaran kepada orang ramai untuk membawa pulang rumput berkenaan sempena kerja-kerja penggantian rumput jenis ‘zeon zoysia’.
Penawaran rumput ini dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai dengan ada yang membawa pulang sebagai ‘barang kenangan’ selain mahu menanamnya kembali bagi mencantikkan perkarangan rumah.
BERITA BAIK!
Sempena dengan kerja-kerja penggantian rumput padang Stadium Nasional kelak, Perbadanan Stadium Malaysia ingin menawarkan rumput sedia ada secara PERCUMA kepada orang awam pada 31 Mac 2023 (Jumaat).'First come first serve'!#PSM #25TahunKLSC pic.twitter.com/tir2eZwR1L
— Stadium.Malaysia 🏟️🇲🇾 (@StadiumMalaysia) March 30, 2023
Cebisan rumput ini juga cukup bernilai di mata para peminat bola sepak kerana di atas rumput jenis inilah para pemain skuad Harimau Malaya beraksi dan mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Bagaimanapun, rumput jenis ‘Cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun.
Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.
Rumput Zeon Zoysia menjadi pilihan utama kerana tahan lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas yang sinonim dengan keadaan cuaca di Malaysia.
Padang SNBJ dijangka berwajah baru dengan rumput jenis Zeon Zoysia selewat-lewatnya Oktober 2023.
Difahamkan proses penggantian rumput dijangka bermula pada April ini. Malah, ia menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh Tunku Ismail (TMJ) sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.
Stadium Nasional Bukit Jalil juga bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.