Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya kurang bernasib baik sehingga gagal ke separuh akhir Piala Malaysia 2023.

Menurunkan barisan terbaiknya ketika kunjungan ke Stadium Perak, Ipoh malam tadi bagaimanapun masih belum mampu untuk menghadirkan kemanisan buat penyokong setia sang badak.

Sedikit kealpaan pada lewat babak pertama dihukum tuan rumah menerusi rembatan jarak dekat oleh Wan Zack Haikal Wan Nor untuk jaringan tunggal perlawanan yang sekali gus membawa Perak ke separuh akhir.

“Perkara yang sama berlaku di Likas (menguasai permainan) kecuali kali ini kami tidak dapat menyamakan kedudukan dimana banyak peluang yang kita sia-siakan,” ujar Kim Swee bercakap kepada media selepas perlawanan.

“Bagi saya kita ingin layak ke separuh akhir daripada apa yang kita lihat hari ini tetapi nasib tidak menyebelahi kita, kita gagal menjaringkan gol.”

“Namun, kita harus memberi pujian kepada pasukan Perak dimana mereka bersungguh-sungguh ingin mendapatkan keputusan dan untuk layak.”

Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka untuk bermain dengan pasukan JDT. Ini akan memberikan satu impak yang berlainan kepada penyokong-penyokong Perak untuk terus melangkah lebih jauh.

Selain itu, Datuk Ong Kim Swee turut melihat faktor kepenatan menjadi masalah untuk anak buahnya meraih kemenangan pada perlawanan ini.

“Kalau kita lihat daripada keadaan padang yang agak lembab termasuk tempoh hari juga kita bermain di Likas dalam keadaan hujan.”

“Dan selang beberapa hari kita bermain lagi, jadi sudah tentu ini merupakan beberapa faktor yang menyebabkan keletihan.”

“Selepas ini juga selang beberapa hari lagi kita akan berhadapan dengan Kelantan di tempat lawan. Jadi saya harus memikirkan banyak perkara terutamanya aspek kecergasan pemain sebelum kita bermain menentang Makassar di Bali nanti,” tambah beliau lagi.