Tidak rela ‘pisang berbuah dua kali’, Sabah FC cukup serius dalam memburu sentuhan penyerang import berkualiti selain pemain tempatan bagi mengharungi musim 2023.

Baca Juga:

Perkara itu ditegaskan ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, yang mengakui beliau tidak mahu terburu-buru sebaliknya berhati-hati dalam pencarian penyerang import.

Tambahan akan berentap di pentas Piala AFC selain penambahan pasukan yang bersaing di Liga Super, beliau melihat perkara itu perlu menjadi salah satu keutamaan dalam mencatat keputusan konsisten dalam semua pertandingan yang disertai Sabah.

Namun dalam masa sama, Kim Swee mengingatkan tugas menjaringkan gol bukan hanya terletak di bahu penyerang semata-mata tetapi semua pemain yang berada di atas padang.

“Sudah tentu, mana-mana pasukan inginkan penyerang berkaliber dalam pasukan tetapi musim lalu, semua orang boleh melihat kemampuan Sabah berada dalam kalangan empat pasukan teratas yang paling banyak menjaringkan gol.”

“Bagaimanapun, bagi menghadapi musim baharu ini, kami sudah tentu mahu penyerang yang sempurna bagi menguatkan lagi aspek serangan namun saya tidak akan buat keputusan terburu-buru ekoran pintu pendaftaran masih berbaki dua bulan.

“Buat masa ini, kehadiran Darren sekurang-kurangnya sudah memberikan petanda yang positif kerana dia telah bergelar penjaring tempatan terbanyak Liga Super musim lalu dan diharapkan mampu meneruskan dengan apa yang dia lakukan sebelum ini,” katanya.

Selain Darren, Sabah juga telah membawa masuk Irfan Zakaria dan Stuart Wilkin yang akan terus bersama Sabah secara kekal selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Posisi penyerang dilihat sebagai sesuatu yang kritikal apabila pemain import musim lalu, Neto Pessoa yang hadir di awal musim dengan penggantinya, Jose Embalo gagal memenuhi jangkaan yang disandarkan pasukan.

Sementara itu, Kim Swee melihat kewujudan Liga Simpanan pada musim 2023 sebagai sesuatu yang positif kepada Sabah kerana mampu membantu memberikan ruang kepada pemain mendapatkan aksi kompetitif.

” Liga Simpanan ini bukan sahaja sesuatu yang baik kepada pembangunan pemain-pemain muda Bawah 23 tahun tetapi saya dapati boleh membantu pemain-pemain senior.

” Di sinilah mereka boleh mendapatkan peluang untuk bermain semula selepas pulih dari kecederaan atau mendapatkan peluang bermain secara kompetitif jika sudah lama tidak beraksi.

” Bagi saya ini bukan sahaja sesuatu yang baik kepada Sabah yang akan bermain di Piala AFC tetapi Liga Malaysia secara keseluruhan,” katanya.