Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee tidak menolak hakikat bahawa tiga aksi berturut-turut di gelanggang lawan sedikit sebanyak telah menganggu prestasi anak buahnya.
Baca Juga:
- Peminat Sabah Anggap Pengadil Jadi Punca Gagal Raih Kemenangan
- Ong Kim Swee Mahu Lebih Berhati-Hati Dapatkan Penyerang Import
- Terlalu Selesa Selepas Mendahului, Ong Kim Swee Mahu Anak Buah Lebih Fokus
Selepas mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri pada lima aksi awal dalam kempen Liga Super Malaysia 2023, Sabah kemudiannya hanya mampu meraih satu mata pada tiga perlawanan terakhir.
Seperti dinyatakan, tiga perlawanan tersebut terpaksa dihadapi di gelanggang lawan iaitu pada pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (tewas 0-4), KL City (tewas 0-2) dan malam tadi berdepan Negeri Sembilan yang menyaksikan skuad Sang Badak terikat 1-1.
Pada perlawanan tersebut, Sabah ketinggalan pada minit ke-21 menerusi jaringan Tommy Mawat Bada tetapi pemain import kelahiran Korea Selatan, Park Taesu memastikan mereka pulang ke Kota Kinabalu dengan satu mata.
Selain daripada mengganggu rentak pasukan, penurunan prestasi itu juga semakin menjarakkan kedudukan antara Sabah dengan pendahulu saingan liga, JDT dengan jurang 10 mata untuk meletakkan mereka di tangga kelima pada ketika ini.
“Ya dah tentu apabila kita berjauhan daripada rumah sudah tentu banyak perkara yang perlu kita fikirkan selepas ini termasuk juga apabila bermain pada lewat malam.”
“Latihan dan jurang masa yang agak panjang kita berada di tempat penginapan juga mungkin merupakan satu faktor yang perlu kita fikirkan.”
“Dan saya harap selepas ini kalau kita bermain di tempat lawan tidak lagi begitu lama dimana ini penting untuk kita mengekalkan momentum kita,” ujar Ong Kim Swee bercakap kepada Astro Arena selepas perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Aksi seterusnya bakal dihadapi anak-anak buah Kim Swee adalah dalam pusingan 16 Piala FA 2023 yang menyaksikan pertemuan Sabah menentang Kelantan United di Stadium Likas pada Sabtu nanti.