Penyerang TRW Kelantan, Nurshamil Abd Ghani terus mendedahkan segala kepincangan pihak pengurusan pasukan itu menerusi laman media sosial baru-baru ini.
Nurshamil menyatakan pihak pengurusan meminta wang sebanyak RM50,000 kepadanya sekiranya beliau mahu menamatkan kontrak dan meninggalkan pasukan. Perkara ini dinilai hanya menguntungkan kelab dan memberi kerugian kepada pemain itu.
Selain itu, Nurshamil Abd Ghani turut mendedahkan bahawa pihak kelab gagal untuk membayar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tiada bonus setelah pasukan itu naik ke Liga Super dan juga tiada bonus selepas perlawanan.
Sebelum ini, bekas pemain Melaka United itu menegaskan menerusi siaran TikTok secara langsung bersama beberapa rakan sepasukan dengan terbuka memberitahu dirinya sudah tiada hati untuk bermain dengan kelab itu.
Ekoran krisis yang berlaku dalam pasukan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa The Red Warrior telah dikenakan sekatan perpindahan pemain berikutan isu tunggakan gaji.
Selain itu, salah seorang bekas pemain TRW Kelantan iaitu Rozaimi Rahamat dilaporkan sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham.
Menurut isteri Rozaimi yang hanya mahu dikenali sebagai Rose, suaminya bertindak demikian setelah beliau mendakwa difitnah oleh Zamsaham Rozaimi memboikot aksi menentang Sabah bulan lalu sedangkan penjaga gol itu dihalau dari menyertai pasukan ekoran meminta gaji penuh kepada pihak pengurusan.
“Sebenarnya dia dihalau dari KLIA pasal minta gaji. Dia pergi dengan pasukan dah masuk beg apa semua. Dalam masa yang sama dia minta gaji full tapi tak dapat, hanya dapat RM1,000.
“Selepas kejadian itu dia terus balik rumah. Nasib ada kakak dia di KL (Kuala Lumpur) dengan sehelai sepinggang dia balik JB (Johor Bahru). Beg semua dah ke Sabah. Dahlah waktu itu puasa,” kata wanita itu.