Pemain sayap Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim mengintai peluang lebih besar untuk menyerlah pada musim ini apabila sah menjadi milik pasukan itu selepas dipinjamkan daripada Selangor FC, musim lalu.

Baca Juga:

Nik Sharif mula mencuri tumpuan selepas beraksi bersama naib juara Piala FA 2022 ini secara pinjaman dan telah melakukan sebanyak 26 penampilan secara keseluruhan selain turut berjaya meledak tiga jaringan.

Susulan prestasi cemerlang yang telah ditampilkan oleh pemain berusia 26 tahun itu menyaksikan Terengganu FC berminat untuk terus menagih khidmatnya pada musim 2023 secara tetap sambil menyifatkan ini adalah keputusan terbaik untuknya kekal bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Namun, sudah pasti ia bukan perjalanan yang mudah untuknya memandangkan Terengganu musim ini dihadiri oleh rata-rata pemain baharu dan paling penting adalah keserasian yang perlu dicari sebelum sepak mula.

“Terengganu memang banyak memberi ruang kepada saya untuk lebih menyerlah pada musim lepas dan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai keupayaan saya terutamanya jurulatih, Nafuzi Zain.

“Antara faktor kenapa saya ingin kekal di Terengganu adalah untuk mencari pengalaman beraksi di Piala AFC selain ini juga adalah dorongan daripada keluarga terutamanya ibu saya untuk terus beraksi bersama pasukan ini.

Kredit Foto: Terengganu FC

“Sudah tentu ia bukan mudah sebab kita tahu ramai muka baharu yang datang termasuklah jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner dan kita perlu segera menyesuaikan diri dengan taktikal dan latihan selepas ini.

“Misi saya adalah untuk cuba menjaringkan lebih banyak gol selepas ini di mana saya ingin perbaiki pencapaian individu yang mana saya berharap ia juga dapat membantu rakan-rakan lain pada musim ini”, jelasnya.

Bekas pemain Pahang ini juga turut berterima kasih kepada Selangor FC yang telah banyak membantunya sepanjang bersama pasukan itu terutama dari segi aspek pemulihan selepas berdepan kecederaan pada musim 2021.

Nik Sharif yang pernah dilanda kecederaan buku lali sebelum ini menyaksikan dia direhatkan dalam tempoh masa yang panjang dan bukan mudah untuk kembali bangkit mencipta nama.

“Saya dah bersama Selangor selama lebih satu musim sebelum dipinjamkan ke Terengganu FC, jadi saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mereka atas segalanya.

“Terutamanya apabila mereka sudah menjaga saya dengan baik khususnya daripada segi kebajikan dan juga sepanjang proses pemulihan sewaktu saya cedera, terima kasih Selangor”, tambahnya.