Ketua jurulatih FELDA United, Nidzam Jamil berpandangan semua pengendali Liga Malaysia perlu lebih kreatif dan terbuka menerima corak latihan yang begitu ketat sepertimana disyaratkan dalam Prosedur Standard Operasi (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Baginya, suka atau tidak, mereka kena bijak menggunakan ruang yang ada walaupun latihan secara kontak fizikal atau body contact tidak dibenarkan serta harus berfikir di luar kotak dalam mencipta latihan bersesuaian kepada semua pemain.
Jelas Nidzam, ini juga satu perkara baharu dan tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak tetapi itu bukan halangan buat semua pasukan untuk cuba berlatih di tahap maksimum.
“Kebenaran awal diberikan untuk berlatih memang melegakan satu cabaran baharu berhubung latihan yang tidak membenarkan ada sentuhan dan sememangnya itu menuntut bukan saya sahaja tetapi semua jurulatih untuk ada kreativiti mencorakkan latihan mengikut syarat sebegini.
“Sebagai jurulatih, saya kena lihat daripada perspektif bagaimana mahu melatih pemain di samping perlu menjaga penjarakan sosial dan mungkin kena fikir dalam cara falsafah bola sepak yang berlainan.
“Kita tidak boleh jadikan itu sebagai alasan sebagai sukar untuk melatih pemain dan apa-apapun kebenaran untuk berlatih perlu disambut penuh positif oleh semua pasukan.
“Saya melihat kebenaran awal sebegini yang diberikan oleh kerajaan iaitu lapan ke sepuluh minggu sebelum sepak mula, sekurang-kurangnya memudahkan kami barisan kejurulatihan melakukan pelbagai perancangan yang lebih teliti dan tidak bersikap terburu-buru dalam mendapatkan kembali kekuatan setiap pemain, “ katanya.
Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Foootball League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, semua pasukan Liga Malaysia yang mahu memulakan latihan wajib mengikuti pematuhan SOP jika mahu turun ke padang bermula 15 Jun lalu.
Selain empat langkah awal sebelum mendapat kebenaran berlatih iaitu melakukan ujian calitan atau ‘swab test’, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI), semua pasukan juga perlu patuh berlatih dengan tidak boleh menggunakan body contact.
Dalam pada itu, Nidzam optimis kejanggalan awal untuk setiap jurulatih dan pemain mengikuti latihan tanpa sebarang sentuhan akan berakhir selepas dalam tempoh satu atau dua minggu.
“Sudah pasti pada permulaan awal, akan ada perasaan yang rasa susah mahu ikuti peraturan atau rasa seperti kekok namun bila lama-kelamaan, saya yakin pemain boleh biasakan diri.
“Contoh ini sama seperti mana peraturan masuk pasar raya atau restoran diperkenalkan dahulu, kita kena beratur bagi memeriksa suhu badan dan kena buat imbasan di telefon atau tulis nama di atas buku dan lama-kelamaan, kita akan anggap ini sebagai satu perkara biasa.
“Perkara ini juga akan berlaku kepada semua pemain dan jurulatih dalam ikuti latihan yang disyaratkan dalam SOP, saya rasa tidak ada masalah selepas dalam satu tempoh apabila ia sudah jadi amalan kebiasaan, ” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Kelab Liga Perdana Inggeris Berminat Dapatkan Khidmat Luqman Hakim