Sri Pahang dipaksa bekerja keras sebelum bangkit menjaringkan gol penyamaan untuk mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Baca Juga:
- Sempat Sertai Kem Pra Musim JDT Di Dubai, Levy Madinda Kini Bersama Negeri Sembilan
- Sri Pahang Bakal Tampil Berbeza Dibawah Kendalian Fandi Ahmad
- Sekiranya Khidmat Masih Diperlukan, Sean Selvaraj Mahu Bawa Negeri Sembilan Ke Tahap Lebih Baik
Tok Gajah jelas tampil berbeza dibawah kendalian jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad apabila mempertaruhkan formasi 4-1-4-1 dengan hanya Kpah Sherman menjadi penyerang tunggal setelah ketiadaan Lucas Silva akibat kecederaan.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan terlebih dahulu menjaringkan gol pertama menerusi rembatan kencang bekas penyerang import Penang, Casagrande yang mudah melepasi kawalan benteng pertahanan Sri Pahang dalam kawasan kotak penalti pada minit ke 21.
Satu-satunya peluang terbaik Tok Gajah untuk menjaringkan gol penyamaan ialah menerusi percubaan Kpah Sherman yang terkena palang pada minit ke 45 namun pengadil mendapati pemain dari Liberia itu berada dalam kedudukan ‘offside’.
Pelawat juga terpaksa beraksi tanpa kelibat penjaga gol utama, Izham Tarmizi yang dikeluarkan selepas mengalami kecederaan akibat berlanggar dengan pemain Negeri Sembilan. Tempat Izham digantikan oleh bekas penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun ia tidak mematahkan semangat pemain Sri Pahang.
Sebaik sahaja pengadil meniup wisel permulaan separuh masa kedua, Tok Gajah bangkit dengan lebih garang dan berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Malik Arif pada minit ke 48 hasil hantaran daripada David Rowley dari sebelah kanan.
48' GOL | Abdul Malik Mat Ariff menyamakan kedudukan buat Sri Pahang FC!@nsfc1923 1-1 @OfficialPahang #LigaSuper2023 pic.twitter.com/6spUA291aj
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 26, 2023
Malik juga nyaris menjaringkan gol kedua pada minit ke 57 tetapi rembatannya berjaya ditepis oleh penjaga gol tuan rumah, Nasrullah.
Tersentak dengan percubaan tersebut, tuan rumah mula mengatur serangan ke kubu Sri Pahang tetapi gagal menemui sasaran. Malah, rembatan jarak jauh Hasbullah berjaya ditepis keluar oleh Zarif Irfan.
Mahalli Jasuli hampir mencatat nama sebagai penjaring gol kedua namun rembatannya terkeluar daripada sasaran pada minit ke 74.
Tok gajah kemudian memperolehi peluang terbaik untuk menambah gol tetapi malangnya Malik Arif gagal menyudahkan lorongan cantik daripada Kpah Sherman dalam situasi ‘1 on 1’.
Peluang keemasan di minit perlawanan juga gagal disudahkan oleh Kpah Sherman. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi pertama Liga Super 2023.
Selepas ini, Negeri Sembilan akan bertemu Penang di Stadium Negeri Batu Kawan pada 1 Mac manakala Sri Pahang bakal menentang TRW Kelantan dalam pertemuan ‘Derbi Pantai Timur’ di Stadium Darul Makmur pada 2 Mac ini.