Kerajaan Negeri Sembilan dijangka akan meneruskan projek penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) Paroi bagi membolehkan stadium berkenaan dipilih sebagai gelanggang perlawanan antarabangsa.

Baca Juga:

Menurut laporan Harian Metro, Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama EXCO setiap negeri yang diadakan Januari lalu.

“Saya fikir kita mempunyai beberapa alternatif yang membolehkan projek ini atau tawaran KBS itu dapat kita teruskan. Kita akan bincang di peringkat EXCO,” kata Jalaluddin Alias dipetik dalam Harian Metro.

Stadium STAR, Paroi
Sumber Gambar: Negeri Sembilan FC

Rumput Zeon Zoysia jenis tahan lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas. Difahamkan tawaran yang diberikan KBS adalah dengan membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.

Rumput jenis ‘cowgrass’ yang didapati di kebanyakan stadium Malaysia tidak lagi sesuai digunakan untuk bola sepak moden.

Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak.