Negeri Sembilan mungkin akan menjadi pasukan kedua yang mengiringi Sabah untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan jika berjaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada hari Sabtu ini.
Selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT II) dengan jaringan 3-1 beberapa hari lepas, skuad Hobin Jang Hobin itu kini berada di kedudukan keempat liga terikat 28 mata dengan pencabar terdekat, UiTM FC hasil daripada 8 kemenangan serta 4 keputusan seri.
Jika mereka berjaya mengutip tiga mata penuh ke atas PDRM, perlawanan terakhir liga menentang UiTM FC pada 20 Julai ini pasti menjanjikan saingan yang sengit untuk merebut tempat ke saingan Liga Super musim depan.
Dalam perlawanan menentang JDT II, Negeri Sembilan mempamerkan corak permainan pantas sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula dan hampir memperolehi jaringan awal pada minit ke 4 melalui tandukan Igor Luiz namun berjaya ditepis oleh penjaga gol lawan.
Tujuh minit kemudian, Stadium Tuanku Abdul Rahman bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Jose Almir Neto menjaringkan gol pertama selepas menolak masuk ke gawang lawan hasil daripada kesilapan benteng pertahanan JDT II.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pelawat untuk mencari jaringan penyamaan melalui Rozaimi Abdu Rahman yang menyempurnakan sepakan penalti. Penalti itu diberikan setelah pemain Negeri Sembilan didakwa mengasari pemain JDT II dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, NS menggandakan asakan dan berjaya mendapat gol kedua pada minit ke-62 menerusi tendangan padu Matheus Fernandes dari jarak kira-kira 40 meter dari kawasan tengah padang yang di luar jangkauan Haziq sebelum Igor Luiz menambah derita JDT II menerusi gol ketiga pada minit ke-86.