Pengendali sementara skuad kebangsaan Singapura, Nazri Nasir jelas memuji sumbangan berkesan ditampilkan ayam tambatannya, Ikhsan Fandi yang berjaya meledakkan dua jaringan ketika bertemu Malaysia pada aksi persahabatan Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022), tempoh hari.
Anak kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad itu bijak mencuri ruang untuk menolak masuk bola pada separuh masa pertama dan kemudiannya melepaskan rembatan padu susulan gerakan solonya untuk menghadiahkan jaringan kemenangan buat skuad Singa itu.
Bakal mencecah usia 23 tahun pada 9 April nanti, Ikhsan disifatkan oleh Nazri mampu untuk terus memburu jaringan sekali gus dapat mengatasi rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa milik bapanya iaitu dengan 55 jaringan.
Ikhsan Fandi yang kini beraksi bersama BG Pathum United telah menjaringkan 13 gol buat skuad kebangsaan Singapura manakala telah mengumpul sembilan jaringan dalam saingan domestik (Thailand).
“Dia telah melakukannya dengan sangat baik dalam kempen Thai League,” ujar Nazri menurut laporan dikeluarkan laman sesawang Persatuan Bola Sepak Singapura.
“Saya rasa sudah begitu lama selepas pemain-pemain seperti (Noh) Alam Shah, (Khairul) Amri dan juga Fandi, bapanya, boleh digelarkan sebagai ‘target man’ dan kini dia memiliki peranan ‘nombor sembilan’.”
“Dia sesuai dengan nombor itu. Dia juga semakin menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”
“Sudah tentu dia mempunyai banyak masa lagi dan saya berharap dia akan cuba untuk mengatasi rekod jaringan yang dipegang oleh bapanya,” tambah Nazri Nasir lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Penyokong Nigeria Naik Angin Gagal Layak Ke Piala Dunia 2022