Pemain sayap lincah dari Indonesia, Natanael Siringoringo bakal kembali memperkuatkan TRW Kelantan bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim 2023.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh pemilik pasukan iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham menerusi pengumuman di laman media sosial Facebook miliknya dimana Natanael sudah tiba di Malaysia dan akan segera menyertai pasukan.

Sebelum ini, selepas mendapat lanjutan kontrak bersama Kelantan, Natanael dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia iaitu Dewa United pada musim 2022 dimana pemain itu mencetak dua gol dalam 27 perlawanan sepanjang musim.

Akan tetapi, pemain kelahiran Medan itu gagal membantu Dewa United untuk menamatkan saingan Liga 1 di kelompok 10 pasukan terbaik dimana pasukan itu menamatkan saingan di tangga ke-17. Untuk makluman, Liga 1 musim 2022/2023 tidak menggunakan format penyingkiran ke divisyen dua.

Kehadiran Natanael Siringoringo ke dalam skuad Kelantan kali ini dianggap tepat ketika pasukan itu kehilangan beberapa pemain import seperti Miguel Cifuentes yang menyertai Sabah dan Carli de Murga yang menyertai satu lagi kelab Indonesia iaitu Barito Putera.

Selain itu, Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot dimana pasukan itu hanya mampu mengutip empat mata setakat ini, hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan 11 kekalahan.

Selepas cuti perlawanan antarabangsa, Kelantan akan menerima kunjungan Sri Pahang di Kota Bharu dan ini bakal menjadi perlawanan pertama Natanael bersama The Red Warriors musim ini.