Pemain sayap dari Indonesia, Natanael Siringoringo mengambil tindakan undang-undang ke atas TRW Kelantan selepas pemai itu tidak dibayar gaji oleh kelab yang dimiliki Norizam Tukiman atau Zamsaham itu.

Baca Juga:

Menerusi ejen Natanael iaitu 2Touch International, pihak peguam sudah mengambil tindakan undang-undang ke atas Kelantan selepas kelab itu gagal membayar gaji pemain yang diwakilinya.

“Natanael Siringoringo bakal meninggalkan Kelantan dimana pihak peguam sudah mengambil tindakan undang-undang ekoran kegagalan kelab itu membayar gaji. Walaupun sudah diberi masa 15 hari untuk menyelesaikan masalah, namun kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

“Oleh itu, Natanael akan menjadi ejen bebas dan ketika ini beliau sedang berunding dengan beberapa pasukan dari Malaysia, Thailand dan Singapura. Kami mendoakan kejayaan Natanael pada masa akan datang,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh 2Touch International.

Natanael bukan satu-satunya pemain yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan dimana sebelum ini salah seorang bekas pemain, Rozaimi Rahamat turut membuat tindakan sama dimana beliau mengambil tindakan udang-undang terhadap Zamsaham.

Menurut isteri Rozaimi yang hanya mahu dikenali sebagai Rose, suaminya bertindak demikian setelah beliau mendakwa difitnah oleh Zamsaham Rozaimi memboikot aksi menentang Sabah bulan lalu sedangkan penjaga gol itu dihalau dari menyertai pasukan ekoran meminta gaji penuh kepada pihak pengurusan.

TRW Kelantan Zamsaham
Sumber Gambar: Kelantan

“Sebenarnya dia dihalau dari KLIA pasal minta gaji. Dia pergi dengan pasukan dah masuk beg apa semua. Dalam masa yang sama dia minta gaji full tapi tak dapat, hanya dapat RM1,000.

“Selepas kejadian itu dia terus balik rumah. Nasib ada kakak dia di KL (Kuala Lumpur) dengan sehelai sepinggang dia balik JB (Johor Bahru). Beg semua dah ke Sabah. Dahlah waktu itu puasa,” kata wanita itu dipetik dari laporan Majoriti.

“Suami saya dah serahkan pada peguam mengenai fitnah yang dilontarkan oleh Encik Zamsaham kepada suami saya. Fitnah masa sesi soal jawab Encik Zam bersama dengan penyokong TRW Kelantan hari itu.

“Sebenarnya suami saya tak nak pun panjangkan benda ini tapi dia dah bagi tempoh untuk membuat permohonan maaf tapi sampai sekarang dia (Zamsaham) masih ego. Itu yang suami saya terpaksa ambil jalan ini untuk bersihkan nama dia,” tambahnya.