Beberapa hari lalu, peminat bola sepak tempatan menerima berita gembira apabila pemain skuad kebangsaan, R. Kogileswaran telah menandatangani kontrak selama semusim bersama kelab divisyen 2 Korea, Chungbuk Cheongju.

Baca Juga:

Perkembangan itu bermakna Kogi merupakan pemain Malaysia yang pertama beraksi dalam saingan Liga Korea dan penghijrahannya bakal memberi inspirasi kepada para pemain tempatan.

Memetik laporan daripada New Straits Times, Kogi menjelaskan nasihat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon merupakan antara faktor utama yang mendorongnya membuat keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan.

Bekas pemain PJ City itu turut menjadikan sepupunya, Titus James Palani sebagai inspirasi untuk mengikut jejak langkah beraksi di luar negara. Titus sebelum ini pernah menyertai beberapa kelab divisyen bawahan di Perancis.

“Ini adalah detik yang paling gembira dalam hidup saya. Sejak kecil, saya selalu menyimpan impian untuk beraksi di luar negara seperti Titus dan akhirnya ia jadi kenyataan.

“Sebelum menandatangani kontrak dengan Chungbuk, saya telah bercakap dengan ‘coach Kim’ mengenai perpindahan ini. Dia telah memberikan nasihat yang berguna dan juga tumpang gembira. Dia juga sempat menghubungi saya sebelum berangkat ke Korea Selatan.

“Saya mahu berterima kasih kepada coach Kim atas nasihatnya, ia sangat bermakna untuk saya. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pembantu pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin dan juga Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin. Kedua-duanya telah memberi sokongan penuh,” katanya.

Sebelum ini, Kogi dikaitkan dengan kelab Singapura, Tampines Rovers namun Liga Korea menjadi destinasi dipilihnya kerana lebih kompetitif dan berpeluang mendalami corak permainan yang berkualiti.

“Corak permainan bola sepak Korea berada di tahap tertinggi. Saya ambil peluang ini untuk memperbaiki corak permainan dan jadi pemain bola sepak yang lebih baik.

“Saya belum belajar lagi bahasa Korea tetapi berharap dalam melakukannya secepat mugkin. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Ianya tugas yang sukar tetapi saya yakin dapat menyesuaikan diri secepat mungkin.

“Saya belum sertai sesi latihan dan kini dalam proses recovery bersama jurulatih kecergasan,” tambahnya.

Musim lalu, Chungbuk beraksi di divisyen ketiga dimana mereka menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 16 pasukan yang bertanding. Bagi saingan musim 2023, kelab tersebut bakal beraksi dalam saingan K2 dengan satu lagi kelab iaitu Cheonan City.

Menurut laporan K League United, Musim 2023 akan bermula pada penghujung bulan Februari yang mana saingan akan tamat pada awal Disember sekaligus akan menjadi musim yang lebih panjang daripada tahun sebelumnya.