Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengakui corak permainan ditampilkan anak buahnya adalah antara yang terbaik pernah dipamerkannya sepanjang membimbing pasukan.
Malaysia yang berdepan misi wajib untuk mencapai kemenangan kelihatan cukup garang menewaskan Singapura, 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Darren Lok berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-35 dan kemudiannya Stuart Wilkin menambah dua gol ketika permainan memasuki minit ke-50 dan 54.
Faris Ramli merapatkan jurang gol ketika permainan memasuki minit ke-85 tetapi Sergio Aguero tidak menamatkan perjuangan Singapura berselang tiga minit kemudian.
Kemenangan penting itu sekali gus telah membawa skuad Harimau Malaya ke aksi separuh akhir bagi menentang juara enam kali, Thailand.
“Terima kasih yang tak terhingga buat seluruh peminat bola sepak Malaysia pada malam ini [malam tadi]. Mereka hadir ke stadium dan memberikan sokongan penuh buat kami.”
“Ia merupakan satu kuasa cukup hebat buat kami yang berjuang atas nama Malaysia,” ujar Kim Pan-gon menurut kenyataannya dalam sidang media selepas perlawanan.
“Saya sangat berbangga dengan para pemain Harimau Malaya pada malam ini, mereka meneroka potensi mereka. Itulah perkara yang saya begitu gembira menyaksikannya.”
“Saya fikir, ia boleh menjadi salah satu antara aksi terbaik pernah dipamerkan sejak membimbing pasukan.”
“Kita boleh melihat bagaimana keinginan mereka [untuk mencatatkan kemenangan]. Semangat mereka untuk menampilkan yang terbaik ketika berada di atas padang.”
“Mereka telah menyajikan aksi bola sepak yang baik dan itulah kesan positif yang saya dapat rasakan,” tambah beliau lagi.
Bertemu Thailand di separuh akhir, skuad negara akan melayani kunjungan anak buah Mano Polking itu terlebih dahulu pada 7 Januari nanti dan kemudiannya terbang ke Bangkok untuk aksi kedua, tiga hari kemudian.
Sementara itu dalam satu lagi aksi separuh akhir, Vietnam akan berhadapan dengan naib juara enam kali, Indonesia.