Nasib ketua jurulatih TRW Kelantan, Frank Bernhardt menjadi tanda tanya selepas beliau mengalami kekalahan kelima sebagai pengendali Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.

Baca Juga:

Kelantan turun menentang PDRM baru-baru ini dan perlawanan tersebut menjadi peluang terbaik bagi kelab Pantai Timur itu untuk bangkit selepas tewas kepada pasukan Kedah dengan keputusan 5-0 pada perlawanan sebelumnya.

Akan tetapi, segalanya serba tidak menjadi bagi kelab milik Norizam Tukiman atau Zamsaham itu apabila mereka tewas dengan keputusan 4-1 dan mengekalkan rentetan kekalahan yang dialami.

Sebelum ini, Zamsaham menegaskan beliau akan memecat Frank Bernhardt sekiranya Kelantan tewas dalam lima perlawanan di bawah bimbingan pengendali itu.

“Saya beritahu Frank Benhardt: ‘Saya tahu prestasi kamu dekat UiTM FC, kamu adalah jurulatih profesional, jadi saya harap kamu capai sasaran KPI kita tahun ini.

“Kalau tak capai, kita akan tukar [jurulatih lagi]. Takkanlah kita nak buat bodoh sahaja kalau dia tak capai sasaran ditetapkan.

“Tetapi dalam kontrak beliau [Berhardt], kalau dia kalah 5 kali, maka kita akan tukar,” katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan dari pihak kelab ataupun Zamsaham mengenai Bernhardt.

Menurut perkongsian Berita Bola Kelantan, perlawanan semalam menyaksikan hanya 651 penonton yang hadir ke stadium berbanding 5000 penonton yang hadir pada perlawanan sebelumnya.

Ini menunjukkan bahawa peminat kecewa dengan prestasi semasa pasukan dan mereka berharap pengurusan melakukan sesuatu untuk memperbaiki prestasi semasa pasukan.