Naib Juara Liga Super 2023 berpeluang beraksi dalam pertandingan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/25 selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai juara Piala FA 2023 kelmarin.

Baca Juga:

Malaysia Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.

Bagaimanapun, slot ke kelab AFC Tier 2 akan diberikan kepada naib juara Liga 2023 jika JDT sekali lagi muncul sebagai juara Liga Super 2023 buat kali ke 10 berturut-turut sekaligus layak ke saingan Tier 1.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, JDT hampir pasti bergelar juara selepas mengutip 51 mata dan belum tewas dalam 17 perlawanan yang diharungi.

Manakala saingan merebut kedudukan kedua Liga Super masih terbuka melibatkan Selangor yang kini mengutip 40 mata meninggalkan pencabar terdekat iaitu Kedah (34 mata), Sri Pahang (34 mata) dan Sabah (33 mata).

Jika kelab-kelab yang layak ke pertandingan tersebut gagal menepati syarat-syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan tersebut di atas adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL.

Menerusi carta peruntukan slot pertandingan AFC 2024/25 bagi zon Timur, Malaysia mendapat satu slot automatik bagi pertandingan Tier 1 dan juga satu slot automatik ke pertandingan Tier 2.

Bagaimanapun Malaysia tidak mendapat slot bagi pertandingan Tier 3 sekali gus bakal menyaksikan hanya dua pasukan Liga M berpeluang ‘menikmati’ pertandingan peringkat tertinggi Asia.

Hanya dua wakil ASEAN iaitu Malaysia dan Thailand akan beraksi di saingan Tier 1 di mana Thailand mendapat dua slot di Tier 1 membabitkan satu secara terus dan satu menerusi ‘play-off’ serta satu slot automatik bagi saingan Tier 2.

Negara lain yang turut mendapat slot automatik ke Tier 2 adalah Vietnam, Hong Kong, Filipina dan Singapura selain Korea Utara dan Indonesia yang mendapat satu slot ‘play-off’.

Korea Utara dan Indonesia mendapat satu slot ‘play-off’ saingan Tier 3 sama seperti pasukan dari Myanmar, Kemboja, Macau, Taiwan, Laos, Mongolia, Brunei, Timor Leste, Guam dan Kepulauan Mariana Utara.