Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui semangat tinggi yang dipamerkan anak buahnya serta sokongan padu para penyokong menjadi pendorong kepada skuad kendaliannya berjaya menundukkan Kedah pada aksi pusingan kedua Piala FA 2022, semalam.

Jaringan tunggal menerusi tandukan Faiz Nasir seawal minit ketujuh sudah cukup untuk membawa skuad penyu itu ke suku akhir untuk berhadapan dengan Kuching City FC walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang sejak daripada minit ke-50.

Kekurangan seorang pemain ekoran kehilangan pertahanan tengah, Pape Diakite akibat kad merah itu tidak langsung menggugat disiplin tinggi untuk mengekalkan kelebihan satu gol tersebut.

“Syukur Alhamdulillah rezeki diberikan Allah malam ini, kita lihat saingan Piala FA ini penuh dengan dugaan dan cabaran,” ujar Nafuzi bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kita tengok daripada pusingan pertama kita bertemu dengan Negeri Sembilan, pasukan dalam Liga Super. Pusingan kedua pula kena berjumpa dengan Kedah. Memang tugas yang sukar.”

Kredit Foto: Terengganu FC

“Tapi usaha, komitmen serta mentaliti pemain yang ditunjukkan terutamanya pada separuh masa kedua terpaksa bermain dengan 10 orang pemain mereka dapat bertahan 1-0 hingga ke wisel penamat, bagi saya susah nak menggambarkan suasana kemenangan malam ini.”

“Pertama sekali [kemenangan ditujukan] untuk penyokong yang datang beri sokongan daripada awal, memberikan sokongan kepada pasukan. Kepada pemain semua, terima kasih kepada semua pemain saya.”

“Kunci kemenangan malam ini pertamanya adalah pemain sendiri yang begitu bersemangat untuk melangkah jauh dalam saingan Piala FA.”

“Selain itu, penyokong juga memberikan semangat daripada minit pertama, mereka memberikan ‘extra booster’ buatkan pemain lupakan kepenatan mereka untuk beraksi,” tambah Nafuzi lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Kurniawan Dwi Yulianto Sertai Kelab Itali Sebagai Pembantu Jurulatih

Barcelona Berhutang Tunggakan Gaji £17 Juta Dengan De Jong

Piala FA 2022: Terengganu Ke Suku Akhir, Kedah Gigit Jari