Penyerang Perak, Shahrel Fikri percaya musim 2020 akan menjadi tahun untuknya membina kembali karier agar terus diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama selepas jarang beraksi sebagai penyerang utama pada musim lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui prestasinya pada musim lalu agak hambar apabila terpaksa bersaing sengit untuk merebut tempat dengan bekas penyerang import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva dan sekadar meledak dua gol sepanjang musim.
Justeru, dia mahu memastikan posisi itu terus kekal menjadi miliknya dalam skuad utama walaupun sedar seorang lagi pemain import dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais turut menjadi persaingan untuknya kali ini.
“Musim 2019 memang bukan tahun saya dan jarang sangat bermain kerana Ronaldo ketika itu sentiasa menjadi pilihan untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Yang penting saya nak buktikan, saya mampu galas tugas dalam kesebelasan utama walaupun terpaksa bersaing dengan pemain import dan menjaringkan seberapa banyak gol untuk musim ini.
“Saya berjaya tonjolkan prestasi terbaik dalam perlawanan persahabatan ketika pra musim untuk menjaringkan gol dan untuk itu, jurulatih (Mehmet Durakovic) terus meletakkan kepercayaan kepada saya.
“Dan dalam perlawanan pertama ketika berdepan Terengganu, saya berpeluang untuk berada dalam skuad utama dan permulaan yang bagus untuk kami kerana menang 3-0,” katanya.
Bakal berdepan Selangor untuk perlawanan kedua esok (Sabtu), Shahrel menjangkakan aksi yang cukup sengit memandangkan pasukan lawan kendalian B.Satianathan itu juga mendapat tonik terbaik pada aksi pertama menentang Pahang dengan meraih tiga mata.
“Berdasarkan prestasi Perak sekarang, peluang itu seimbang untuk Perak dan Selangor masing-masing menampilkan aksi terbaik bagi merebut tiga mata.
“Minggu lalu, Selangor juga sudah tunjuk belang, dan saya percaya untuk perlawanan kedua ini, macam-macam boleh berlaku di mana kami perlu bekerja keras bagi menghadapi Selangor nanti”, jelasnya.