Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bakal berlangsung dengan format baharu.

Hal ini kerana dua divisyen telah diperkenalkan dalam penganjuran liga futsal paling berprestij tanah air itu  yang dijangka berlangsung pada Januari atau Februari hadapan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, FAM mendedahkan 10 pasukan terbaik dalam kempen MPFL 2023 akan bersaing di divisyen 1.

Ia memberikan gambaran jelas bahawa liga divisyen 1 akan menampilkan lima pasukan terbaik bagi kumpulan A dan B pada edisi 2023 untuk bersaing sesama sendiri.

Pada edisi lalu, empat pasukan terbaik bagi kumpulan A dan B layak ke peringkat kalah mati untuk memburu kejuaraan liga.

Dengan perubahan yang dilakukan, ini bermakna tiada lagi aksi peringkat kalah mati akan dihadapi oleh setiap pasukan dalam saingan divisyen 1.

Sehubungan dengan itu, juara MPFL 2024 akan ditentukan menerusi jumlah kutipan mata terbanyak setelah mengharungi 18 perlawanan liga yang memberi maksud pasukan akan menghadapi perlawanan ‘home away’.

Manakala bagi saingan divisyen 2 yang turut dijangka berlangsung Januari atau Februari 2024 akan dibarisi oleh pasukan-pasukan baharu.

Setiap pasukan divisyen 2 akan menghadapi liga dua pusingan tetapi diadakan secara sirkit dan tiada perlawanan ‘home away’.

  • Dengan perubahan format yang dilakukan, ia sekali gus menarik minat lebih banyak pasukan untuk turut serta bertanding dalam saingan MPFL.
  • Ia juga akan menambah kehangatan serta menjadikan liga lebih kompetitif dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk diserapkan ke skuad futsal kebangsaan.

Sebagai rekod, Pahang Rangers merupakan juara berganda kancah futsal tempatan selepas menjuarai MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2023.