Pahang Rangers memulakan kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dengan penuh bergaya apabila membelasah Sabah 9-1 pada aksi kumpulan A yang berlangsung di Kompleks Sukpa, Kuantan malam tadi.

Turun selaku pilihan untuk memenangi perlawanan tanpa masalah, Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas Ulastre tidak menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Amin Nasrollah Zadeh seawal minit pertama.

Pemain import daripada Iran itu tidak melepaskan peluang dengan merembat masuk bola susulan percubaan awal Matheus Gonzalez dihalang penjaga gol, Mohd Ahzar Aris.

Muhamad Alif Mat Amin melebarkan kedudukan pada minit ke-13 selepas beliau menolak masuk bola hasil kombinasinya bersama Mohamad Sufri Shamil.

Pahang Rangers menambah tiga lagi jaringan pantas(minit ke-16, 18 dan 19) menerusi Muhammad Khaiyum Khaimi, Hamdin Zarif Mahmun dan Mohd Ridzwan Bakri bagi menjadikan kedudukan 5-0 pada babak pertama.

Penguasaan berterusan ditampilkan naib juara MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2022 itu dengan Amin Nasrollah menambah dua gol pada minit ke 22 dan 33 sekali gus melengkapkan hatrik buatnya.

Ridzwan Bakri juga tidak mahu ketinggalan untuk bergelar penjaring hatrik apabila beliau turut menyumbat dua gol ketika permainan memasuki minit ke-34 dan 35.

Jaringan saguhati buat pasukan pelawat hadir pada minit ke-39 selepas percubaan pemain Sabah membias Hamdin Zarif lalu bola masuk ke gawangnya sendiri untuk perlawanan berkesudahan 9-1 memihak Pahang Rangers.

Sementara itu pada satu lagi aksi kumpulan A yang berlangsung petang semalam, Terengganu terikat 1-1 bertemu Kedah di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Nur Luqman Yaakob Tan pada minit ke-24 tetapi Muhammad Syarifuddin Md Akhir kembali mengikat kedudukan berselang enam minit kemudian.