Pahang Rangers memastikan tempat ke perlawanan akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas terikat 3-3 bertemu Selangor MAC di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup buat anak buah Gerard Ullestre untuk layak dengan kelebihan agregat 7-6 bagi menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berhadapan Selangor TOT United esok.

Selangor MAC bagaimanapun mendapat kelebihan seawal 10 saat pertama perlawanan apabila Aidil Shahril Rosli berjaya menolak masuk bola susulan percubaan awal Matheus Vasconcelos Silva ditepis penjaga gol Zainul Zahin Sinuan.

Aidil hampir menambah jaringan kedua berselang 10 minit kemudian tetapi percubaannya selepas menerima hantaran jauh rakan sepasukan terkena palang gol.

Nasib sama turut dihadapi pemain import Pahang Rangers, Sergio Jamur selepas percubannya ketika situasi sepakan sudut terkena tiang gol.

Kem tuan rumah terus melonjak kegembiraan pada minit ke-20 apabila Zainul Zahin lewat untuk keluar mendapatkan bola hantaran ke belakang Jamur sehingga membolehkan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan mengambil kesempatan tersebut untuk kedudukan 2-0.

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika waktu rehat, Pahang Rangers tampil dengan lebih baik dan merapatkan jurang pada minit ke-29 menerusi jaringan Sergio Jamur.

Berselang tiga minit kemudian, Mahadir Harahap Khairuddin menyamakan kedudukan selepas beliau menyudahkan dengan baik peluang terhidang hasil serangan balas pantas dimulakan Ridzwan Bakri.

Pahang Rangers terus bernafsu untuk menambah jaringan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-34 menerusi tolakan Ahmad Harith Naim Nasir selepas beliau menerima umpanan daripada sepakan sudut dilakukan Amin Nasrollahzadeh.

Tersentak dengan tiga jaringan pantas itu, Selangor MAC mengambil inisiatif dengan menggunakan taktikal ‘Power Play’.

Ia membuahkan hasil apabila mereka berupaya menjaringkan gol ketiga menerusi Aidil Shahril tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemaraan Pahang Rangers ke pentas final MPFL 2023.