Kehadiran pemain import yang beraksi dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 nyata menambah kehangatan aksi melibatkan 14 pasukan bertanding.
Baca Juga:
- MPFL 2023: Selangor TOT United Kejutkan Skuad Himpunan Bintang JDT
- MPFL 2023: Pahang Rangers Terus Cemerlang, Jadikan Kedah Mangsa Seterusnya
- MPFL 2023: JDT Berkenduri Jaringan Atasi Shah Alam City
Bukan untuk menidakkan keupayaan hebat para pemain tempatan tetapi kehadiran tonggak import dilihat memberikan nilai tambah dalam meningkatkan lagi kualiti liga futsal paling berprestij tanah air ini.
Ketika rata-rata pasukan sudah mengadapi tiga perlawanan awal, barisan pemain import membuktikan kemampuan mereka dengan menjadi nadi kepada kekuatan kelab diwakili.
Kelibat Amin Nasrollah Zadeh Hosseinali pastinya menjadi antara pemain yang mencuri tumpuan apabila pemain lincah tersebut sudah pun meledakkan lima gol sekali gus mendahului carta penjaring terbanyak.
Beraksi di posisi Ala (seperti pemain tengah dalam bola sepak), pemain kelahiran Iran itu meledakkan hatrik pada aksi sulung manakala menambah dua gol lagi ketika bertemu Kedah pada minggu lalu.
Beliau bukan sahaja mesin gol buat Pahang Rangers tetapi kualiti individu yang dimilikinya turut menjadi masalah buat pasukan lawan terutamanya ketika situasi ‘satu lawan satu’.
Pemain import dari Brazil yang beraksi bersama Selangor MAC, Matheus Vasconcelos Silva juga tidak kurang hebatnya dengan empat gol setakat ini.
Menjaringkan satu gol ketika menumpaskan PFA Odin Sarawak pada aksi pertama tempoh hari, beliau kemudiannya mencatat hatrik ketika pertemuan dengan KL City FC, Sabtu lalu.
Beliau yang juga merupakan penjaring terbanyak bersama pada musim lalu itu dilihat bijak mencuri ruang untuk mendapatkan jaringan.
Pemain dari Indonesia yang beraksi bersama Pulau Pinang, Muhammad Iqbal Pasaribu juga dilihat cukup garang di hadapan pintu gol pasukan lawan.
Muhammad Iqbal sudah mencetak empat gol dengan keupayaannya menjaringkan gol pada setiap perlawanan ketika bertemu Kedah, KPT-PST Mustangs dan ATM (dua gol).
Sementara itu, dua lagi pemain dari Iran iaitu Saman Dashan (Pulau Pinang) dan Ali Ebrahimi (Selangor MAC) masing-masing menjaringkan tiga gol.
Ketika semua pemain dinyatakan di atas bermain sebagai Ala dan Pivot (penyerang), Raimundo Helio Carneiro Neto membuktikan tugasan selaku Fixo (pertahanan) tidak menghalangnya untuk membantu jentera serangan pasukan.
Beraksi bersama Selangor TOT United, beliau berjaya menjaringkan tiga gol yang mana dua daripadanya terhasil menerusi percubaan luar kawasan D ketika bertemu Kuala Lumpur dan JDT.
Dengan banyak lagi aksi yang bakal dihadapi, para peminat akan terus dipertontonkan dengan pelbagai detik menarik ditampilkan para pemain tempatan dan import sepanjang MPFL 2023 berlangsung.
Kredit Foto: Selangor TOT United, Pahang Rangers, Pulau Pinang & Selangor MAC