Pemain sayap lincah, Mohd Nor Hakim Hassan yang meninggalkan Selangor pada minggu lalu kini sah bergelar pemain baharu buat skuad Liga Super Terengganu.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 31 tahun itu disahkan laman sosial kelab tangga ketujuh Liga Super tersebut, sebentar tadi.

Meninggalkan T-Team pada tahun 2018 untuk menyarung jersi Perak sehingga muncul pemenang Piala Malaysia pada tahun tersebut, Nor Hakim kemudiannya memilih untuk ke Selangor selepas dua musim berada di Ipoh.

Selepas hampir empat musim, sudah tiba masanya buat Nor Hakim untuk kembali semula ke pangkuan kampung halamannya.

“Pemain kelahiran Terengganu Mohd Nor Hakim Hassan bersetuju untuk menjadi salah seorang pemain yang bakal memperkuatkan pasukan Terengganu FC untuk menghadapi pusingan kedua saingan Liga Super 2023, Piala AFC dan Piala Malaysia selepas mengikat kontrak selama satu tahun bersama pasukan Terengganu FC.”

“Menurut Hakim, beliau sangat faham apa yang diinginkan oleh oleh ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner yang juga bekas jurulatihnya semasa berada bersama di pasukan T-Team FC pada tahun 2015.”

“Baginya, beliau sudah biasa dengan kaedah latihan dan pembentukan disiplin yang diinginkan oleh pengendali tersebut namun baginya mungkin ianya bakal berbeza pada kali ini kerana Tomislav yang beliau kenal dahulu dan kini adalah pada zaman berbeza.”

“Tetapi bagi Hakim, beliau ingin mengambilnya sebagai cabaran untuk cepat memahami apa yang pasukan ini rencanakan dan beliau sudah tidak sabar untuk turun beraksi selepas jendela perpindahan dibuka nanti,” ujar kenyataan dikeluarkan laman sesawang rasmi Terengganu Football Club.