Selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara telah diterima oleh Misbun Sidek bagi mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih perseorangan.
Baca Juga:
- Khidmat Misbun Sidek Jadi Buruan Negara Jiran
- Justin Hoh: Di Mata Saya Misbun Adalah Jurulatih Terbaik
- Datuk Misbun Sidek, BAM Capai Persetujuan Untuk Berpisah
Bagaimanapun, belum ada sebarang keputusan dibuat namun Misbun sedia berhijrah ke luar negara untuk melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia.
Berdasarkan rekod, Misbun pernah melahirkan tiga pemain persorangan lelaki nombor satu dunia iaitu Wong Choong Hann, Roslin Hashim dan Lee Chong Wei.
Walaupun nama negara yang cuba memancingnya tidak didedahkan namun difahamkan Thailand dan Singapura antara negara yang berminat mendapatkan khidmatnya.
“Sebenarnya dari dulu lagi sudah ada, malah dalam beberapa minggu lalu setelah mereka tahu saya telah diberhentikan, namun saya mahu rehat dahulu.
“Semua bergantung pada syarat tertentu yang saya letakkan, jika mereka setuju baru saya terima,” kata Misbun dipetik dalam Bernama.
Misbun juga tidak menolak kemungkinan akan membawa adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai pembantu jika beliau membuat keputusan berkelana di luar negara.
“Selama ini, Jalani jadi tulang belakang saya. Saya perlukan dia kerana dari segi analisis, dia tahu. Contohnya mengapa pemain tersebut tak smash, itu antara kepakarannya,” jelas Misbun.
Malaysia dalam kerugian jika negara lain berjaya mendapatkan khidmat Misbun yang mempunyai pengalaman membentuk pemain berkualiti seperti Lee Zii Jia.
Kemelut yang melanda antara BAM dengan jurulatih berkenaan tercetus apabila Misbun mendakwa beliau ditamatkan kontrak tanpa persetujuan bersama seperti diumumkan oleh badan induk itu.
Jurulatih yang berusia 63 tahun itu berkata, BAM membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya atau dipanggil untuk membela diri.
Malah, Misbun berkata dia adalah mangsa atas kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, dua minggu lalu ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.
Walaupun, BAM telah menawarkan untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini, namun Misbun menolak tawaran tersebut.