Walaupun tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), khidmat jurulatih perseorangan lelaki, Misbun Sidek kini jadi buruan beberapa negara termasuk negara jiran untuk melatih pemain mereka.

Perkembangan itu didedahkan oleh Pengurus Peribadinya, Nor Kamal Ahmad menerusi laporan dalam Berita Harian.

Bagaimanapun, katanya belum ada sebarang keputusan dibuat Misbun berhubung tawaran yang diterimanya itu kerana masih dalam tempoh bertenang.

“Sebenarnya tawaran mula datang selepas Datuk Misbun mengadakan sidang media (pada 31 Julai lalu mengenai penamatkan kontraknya lebih awal oleh BAM).

“Namun, ketika itu Datuk Misbun tidak mahu memikirkan mengenainya kerana mahu menyelesaikan isu dengan BAM terlebih dahulu.

“Menerusi perbualan saya dengan beliau, memang beliau masih mahu mengajar.

“Namun, pada masa yang sama beliau tidak mahu buat keputusan terburu-buru. Saya percaya apabila semua sudah kembali reda, Datuk Misbun akan pertimbangkan semua tawaran yang diterimanya kerana negara yang mengemukakan tawaran itu menunggu jawapan daripada beliau,” katanya kepada BH Sukan.

Misbun Sidek
Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Kemelut yang melanda antara BAM dengan jurulatih berkenaan tercetus apabila Misbun mendakwa beliau ditamatkan kontrak tanpa persetujuan bersama seperti diumumkan oleh badan induk itu.

Jurulatih yang berusia 63 tahun itu berkata, BAM membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya atau dipanggil untuk membela diri.

Malah, Misbun berkata dia adalah mangsa atas kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, dua minggu lalu ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.

Walaupun, BAM telah menawarkan untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini, namun Misbun menolak tawaran tersebut.

Malaysia mungkin dalam kerugian jika negara lain berjaya mendapatkan khidmat Misbun yang mempunyai pengalaman membentuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia.