Penyerang import, Sony Norde mahu segera melupakan kenangan pahit pada musim ini selain berharap musim 2023 akan memberi sinar baharu kepadanya untuk kembali mencipta nama bersama Terengganu FC.
Baca Juga:
- Penyerang Haiti, Sony Norde Sah Milik Terengganu
- Terengganu Umum Tomislav Steinbruckner Sebagai Ketua Jurulatih
- Terengganu vs Selangor: Bas Pemain Selangor Dibaling Batu
Norde diumumkan sebagai pemain baharu untuk naib juara Piala FA itu bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan bermula musim depan selama satu tahun.
Pemain dari Haiti itu mengakui perjalanan musim 2022 bersama Melaka United sungguh mencabar dan kini sudah tiba masa untuknya kembali bangkit membantu Terengganu meraih pencapaian lebih cemerlang berbanding musim ini.
Dan dia percaya pilihannya untuk bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner adalah tepat selepas menilai kelab lain yang turut menawarkan khidmatnya pada musim depan.
“Ya, semua tahu apa yang berlaku di Melaka dan sebagai pemain bola, sudah pasti saya sentiasa ada rasa untuk bermain, jadi inilah masanya untuk terus berjalan ke hadapan.
“Saya bersedia untuk bersama keluarga baharu di Terengganu dan juga cabaran baharu bersama pasukan ini.
“Secara jujurnya, saya ada mendapat tawaran lebih daripada 7 kelab dan saya ada berbincang dengan 7 pasukan tersebut, jadi kami melihat daripada semua sudut sebelum akhirnya memilih Terengganu.
“Selain daripada ingin beraksi di Piala AFC, Terengganu juga mempunyai ramai pemain tempatan yang bagus jadi saya rasa pasukan ini adalah pilihan yang terbaik untuk saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Norde tidak menolak harapan tinggi yang diletakkan di atas bahu pemain dan barisan kejurulatihan musim depan untuk terus kekal cemerlang sepertimana yang telah dilakukan oleh Nafuzi Zain pada musim ini.
Namun, pemain berusia 33 tahun itu percaya kehadiran jurulatih baharu tetap akan menghasilkan pencapaian luar biasa untuk Terengganu seiring dengan kerja keras seluruh pasukan selepas ini.
“Kita tahu semua penyokong Terengganu juga dah letak harapan tinggi daripada jurulatih serta pemain dan ini cabaran untuk kita pemain baharu juga untuk bawa pasukan ini ke tahap yang tinggi.
“Memandangkan mereka telah melakukan tugas cemerlang di bawah kendalian Nafuzi sebelum ini, kini adalah giliran kami untuk melakukan sesuatu sebab sudah tentu penyokong akan sedih sekiranya kami tidak berjaya.
“Saya baru kali pertama bertemu dengan jurulatih (Steinbruckner) ketika menandatangani kontrak dan apa saya boleh cakap, beliau mempunyai karakter yang cukup disenangi dan saya percaya kami semua akan mampu memberikan yang terbaik”, tambahnya.
Terdahulu, Sony Norde telah bersama Melaka United selama tiga musim sejak 2020 dan berjaya meraih empat gol secara keseluruhan pada musim ini.