Pemain import dari Sepanyol, Miguel Cifuentes mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan TRW Kelantan dan menyertai Sabah pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia musim 2023.

Baca Juga:

Perkara ini diumumkan oleh Sabah menerusi laman media sosial rasmi pasukan itu dimana pemain yang mesra disapa Cifu itu bakal menjadi senjata baharu Sabah bagi menghadapi baki saingan musim 2023.

Sebelum ini, peminat bola sepak tanah air menganggap Cifu terlalu bagus untuk Kelantan apatah lagi pasukan itu sedang dilanda krisis antara pemain dan pegawai pasukan dengan pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.

Miguel Cifuentes
Sumber Gambar: Sabah

Setakat 13 perlawanan Liga Super, Kelantan hanya mampu meraih satu kemenangan, satu seri dan mengalami 11 kekalahan sekaligus menghuni tangga tercorot dalam carta liga.

Miguel Cifuentes dianggap pemain yang sesuai untuk memperkuatkan Sabah dimana beliau mampu beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan kanan, sayap kanan dan juga pemain tengah.

Kehadiran beliau bakal menggantikan seorang lagi pemain import iaitu Saddil Ramdani yang ketika ini sedang mengalami kecederaan dan dalam proses pemulihan.

Cifu dianggap boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Saddil sekaligus membantu Sabah untuk kembali ke kelompok tiga pasukan teratas Liga Super.

Pada perlawanan terakhir Liga Super, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tewas kepada Kedah Darul Aman dengan keputusan 2-1 sekaligus terjatuh ke tangga kelima.

Ketika ini, Sabah dibezakan satu mata dengan Kedah dan Sri Pahang yang menghuni tangga keempat dan ketiga dan mereka berpeluang untuk memintas kedua-dua pasukan sekiranya menewaskan PDRM pada perlawanan yang akan berlangsung pada 8 Jun ini.